SERIAN: Sebuah pencawang elektrik baharu bernilai kira-kira RM200 juta dengan kapasiti 275 kilovolt (kV) kini dalam fasa pembinaan sebagai langkah penyelesaian jangka panjang bagi menangani isu gangguan bekalan serta memenuhi peningkatan permintaan elektrik di kawasan Tebedu dan Serian.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Datuk Martin Ben berkata, projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya menjelang suku kedua tahun 2028.
“Projek pembinaan pencawang baharu oleh Sarawak Energy ini dijangka siap pada suku kedua 2028 dan bakal meningkatkan kestabilan serta kapasiti bekalan elektrik di kedua-dua kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan Persatuan Ketua Kampung Bidayuh Bahagian Serian pada Rabu.
Menurut Martin, gangguan bekalan yang berlaku di Serian dan Tebedu berpunca daripada sistem sedia ada yang telah melebihi kapasiti bebanan iaitu masing-masing pada tahap 33kV dan 11kV.
“Situasi ini berlaku susulan peningkatan penggunaan peralatan elektrik di kediaman penduduk, selari dengan pertumbuhan populasi dan pembangunan setempat,” jelas beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menggesa penduduk setempat agar melaporkan sebarang insiden gangguan bekalan elektrik secara terus menerusi saluran Careline Sarawak Energy.
Tambah beliau, tindakan tersebut akan memudahkan pihak Sarawak Energy mengenal pasti lokasi gangguan sekali gus membolehkan langkah pembaikan segera diambil.



