BINTULU: Pencegahan kebakaran bukan sahaja penting di tempat kerja, malah perlu menjadi sebahagian daripada budaya keselamatan dalam komuniti dan keluarga, tegas Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr. Sim Hui Kian.
Menurut beliau, keselamatan kebakaran harus dilihat dalam konteks yang lebih luas, terutama dengan peningkatan insiden letupan industri yang berlaku di Bintulu dalam tempoh 12 hingga 24 bulan kebelakangan ini.
“Kesemua ini bukan hanya berpunca daripada kegagalan sistem semata-mata, tetapi juga berpunca daripada sikap dan kelalaian manusia sendiri. Sebab itu, usaha pencegahan dan pendidikan keselamatan kebakaran amat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Badan Peneraju Industri (ILB) Bidang Kebombaan 2025 Zon Utara Sarawak di Dewan Suarah Bintulu pada Khamis.

Dr. Sim turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) serta Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dan Badan Peneraju Industri atas penganjuran seminar berkenaan yang dilihat dapat memberi impak besar kepada kesedaran dan kecekapan pengendalian risiko kebakaran di tempat kerja.
“Dengan latihan dan pendedahan seperti ini, para peserta bukan sahaja tahu apa yang perlu dilakukan, tetapi juga lebih bersedia untuk mengambil pendekatan proaktif, bukan lagi hanya bertindak apabila kebakaran berlaku,” ujarnya.
Tambah beliau, pendekatan baharu yang menumpukan kepada pencegahan, ramalan risiko serta penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) adalah selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak dalam menjayakan ekonomi digital.
“Saya yakin inisiatif ini akan menjadikan Bintulu bukan sahaja tempat kerja yang lebih selamat, malah sebuah bandar yang lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan,” katanya.

Kira-kira 500 peserta terdiri daripada pemilik premis, pegawai keselamatan bangunan, kontraktor pepasangan keselamatan kebakaran, kontraktor efies, pekerja industri, pihak pemaju, pensyarah, penyelidik dan pelajar institusi pengajian tinggi serta pegawai bomba dan masyarakat awam menghadiri seminar tersebut.
Seminar sehari itu antara lain bertujuan membangunkan kerjasama antara agensi keselamatan, akademik dan sektor swasta untuk memperkukuh inisiatif keselamatan kebombaan.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk membincangkan isu keselamatan kebakaran dalam pelbagai industri dan komuniti serta berkongsi teknologi terkini dan inovasi dalam bidang kebombaan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Ir. Ts. Ahmad Izram Osman dan ADUN Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming antara yang hadir.


