ARTIKEL

Pencuri Bersiri: Wanita Dipenjara Lapan Bulan, Denda RM6,600

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang pencuri bersiri wanita dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan denda RM6,600 oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana menyimpan barang curi serta mencuri barangan elektronik dan pakaian.

Tertuduh berusia 43 tahun mengaku bersalah atas empat pertuduhan yang dibacakan di dua Mahkamah Majistret berasingan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan, kerana memiliki harta curi iaitu sehelai baju sejuk jenama Adidas di dalam sebuah kedai sukan di sebuah pusat beli-belah terkemuka Jalan Wan Alwi, sekitar 8.30 malam, 7 Februari 2023.

Manakala, pertuduhan kedua dia didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, kerana mencuri sehelai seluar panjang sukan jenama Adidas di kedai sukan di pusat beli-belah yang sama, pada 9 Julai 2022.

Pertuduhan ketiga pula, dia didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun yang sama, kerana bersama-sama seorang lagi rakannya yang masih bebas mencuri tiga unit pembesar suara.

Mereka melakukan kecurian itu di kedai menjual komputer dan barangan elektronik di pusat beli-belah yang sama, sekitar 9.30 malam, 20 Jun lepas.

Majistret Ling Hui Chuan menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau enam bulan penjara bagi pertuduhan pertama. Manakala, pertuduhan kedua, dia dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan.

Dia dikenakan hukuman denda RM1,600 dan penjara tiga bulan bagi pertuduhan ketiga. Sekiranya gagal menjelaskan denda akan ditambah hukuman penjara satu bulan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, dia sekali lagi dikenakan hukuman penjara dua bulan dan denda RM2,000 kerana bersama-sama seorang rakannya yang masih bebas mencuri alat solek di sebuah kedai menjual barang kecantikan di sebuah pasar raya terkemuka di Tabuan Jaya.

Dia sekali lagi dikenakan di bawah pertuduhan yang sama iaitu Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun.

Dia dan rakannya yang masih bebas mencuri di kedai terbabit sekitar 6.51 petang, 20 Jun lepas.

Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali memerintahkan tertuduh tambahan penjara dua bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Modus operandi tertuduh dengan datang ke pusat beli-belah terkemuka dan pasar raya terkemuka dengan berpura-pura hendak membeli sebelum membawa pergi barang yang diambil.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Muhammad Aidil Akmal Sharidan dan DPP Muhammad Afiq Safly Nor Kazly.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU