BINTULU: Kerja mendalamkan Sungai Sebiew perlu diberi keutamaan sebelum pelaksanaan projek menaik taraf sistem perparitan bernilai RM50 juta bagi memastikan usaha menangani masalah banjir di Bintulu dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata Sungai Sebiew berperanan sebagai saluran utama pelepasan air hujan dari pelbagai kawasan di Bintulu. Oleh itu, keupayaannya mengalirkan lebihan air ke hilir perlu dipertingkatkan terlebih dahulu.
Beliau berkata kerja menaik taraf sistem perparitan mungkin tidak mencapai matlamat sepenuhnya sekiranya kapasiti sungai itu tidak ditambah baik untuk menampung aliran air, khususnya ketika hujan lebat.
“Jika sistem perparitan dinaik taraf tetapi air tidak dapat disalurkan keluar melalui Sungai Sebiew dengan berkesan, perbelanjaan yang dibuat mungkin tidak memberikan hasil seperti diharapkan,” katanya ketika merasmikan Ekspo Hartanah dan Kediaman Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sarawak (SHEDA) Bintulu 2026, semalam.
Ahli Parlimen Bintulu itu berkata beliau menggesa Pihak Berkuasa Pembangunan Bintulu (BDA) supaya mengutamakan kerja mendalamkan sungai berkenaan sebelum meneruskan projek menaik taraf sistem perparitan bagi memastikan setiap peruntukan digunakan secara optimum.




