Pendapatan peniaga di Sematan meningkat

SEMATAN: Jajaran Lebuh Raya Pan Borneo dari Telok Melano ke Sematan sepanjang 33 kilometer (km) yang dibuka secara rasmi kepada pengguna pada 4 Januari tahun lalu banyak membantu penduduk di kawasan itu.

Dibina dengan kos RM580 juta pada 15 September 2015, jajaran itu sebahagian daripada pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo sepanjag 800 km dari Telok Melano hingga ke Lawas.

Ketika merasmikan jajaran Telok Melano-Sematan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pembukaan jajaran terbabit secara tidak langsung membuka peluang ekonomi di kawasan berpotensi terutamanya dalam sektor ekopelancongan.

Menurut Izalina Baharin, 39, dari Kampung Sebat Melayu Sematan, lebuh raya itu kini memudahkan aktiviti harian mereka. “Dahulu kami perlu menggunakan jalan laut lebih satu jam perjalanan dan dikenakan tambang sebanyak RM30 untuk ke Lundu.

“Sebagai peniaga, kos tambang sangat membebankan sebab saya memerlukan modal pusingan,” katanya kepada Suara Sarawak semalam. Tambah Izalina lagi, setelah lebuh raya itu siap, perjalanan untuk membeli barang kedai makannya dapat dipendekkan kepada kurang setengah jam.

“Malah saya tidak perlu bimbang dengan keadaan cuaca lagi.

Dahulu, kalau mahu membeli barang, kami perlu melihat keadaan cuaca sama ada berlaku angin deras, hujan dan ombak.

“Jika ombak besar, saya menghadapi kesukaran mendapatkan bahan mentah seperti ayam, sayur dan sebagainya sebab bot tambang tidak dapat beroperasi,” jelasnya.

Hahdiah Ali Abdul

Seorang lagi usahawan muda Hahdiah Ali Abdul, 20, dari Kampung Tanah Hitam, Sematan berkata, lebuh raya itu telah membuka peluang kepada generasi muda menceburi bidang usahawan kecil dan sederhana. “Saya berniaga makanan muslim sejak dua tahun lalu.

Kesukaran yang dihadapi semasa memulakan perniagaan adalah untuk mendapatkan bahan mentah terutama musim tengkujuh sebab saya perlu membelinya di Lundu. “Masa itu, tidak ada jalan lain, terpaksa menggunakan bot yang hanya mengambil penumpang jika keadaan cuaca baik,” tambahnya.

Hahdiah berkata, Lebuh Raya Pan Borneo bukan sahaja menyenangkan urusan perniagaan, malah pengunjung yang datang ke Sematan juga semakin ramai. “Pendapatan perniagaan saya meningkat 20 peratus sejak lebuh raya itu dibina… ditambah lagi dengan siapnya Jajaran Telok Melano–Sematan pada tahun lepas.

“Saya percaya jika lebuh raya itu siap sepenuhnya, semakin ramai pengunjung akan melancong ke kawasan ini,” jelasnya. Nurul Fadzlyn Zamury, 21, pula berkata, perjalanan menuju ke Telok Melano yang dahulu mengambil masa dua jam melalui bot boleh disingkatkan kepada 30 minit, sekali gus menyebabkan sektor pelancongan di kawasan itu semakin berkembang.

Nurul Fadzlyn Zamury

“Sebelum jajaran itu dibina, penduduk kampung tidak dapat pergi ke sana jika tidak menaiki bot. “Sekarang, bukan sahaja penduduk sekitar, malah pelancong dari Kuching dapat melihat keindahan Telok Melano,” ujarnya.

Keseluruhan projek Pan Borneo Sarawak dijadual siap sepenuhnya pada Jun 2021, melibatkan pembinaan 115 jambatan, 25 persimpangan bertingkat, tiga kawasan rehat dan rawat serta enam hentian.

Jajaran sepanjang sepanjang 33 km itu antara yang diperjuangkan oleh Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem, ketika beliau menjadi Ketua Menteri Sarawak sejak 2014. Allahyarham meninggal dunia pada 11 Januari 2017.

Suara Sarawak