Pendapatan petani, nelayan terjejas

BETONG: Pendapatan golongan petani dan nelayan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 serta penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapat perhatian Kerajaan Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sebanyak RM2.3 juta di peruntukan kepada agensi berkaitan untuk membeli hasil tani dan laut. Menurutnya, inisiatif yang diambil jelas menunjukkan keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap kebajikan kedua-dua kumpulan tersebut yang merupakan pemain penting dalam rantaian makanan di negeri ini.

“Kami mengakui bahawa petani dan nelayan berhadapan masalah untuk menjual hasil masing-masing sehingga memberi kesan negatif terhadap pendapatan.

“Justeru melalui Jabatan Pertanian Sarawak, kami membantu dan sebanyak RM1.5 juta disediakan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di negeri ini untuk membeli hasil dari pekebun kecil,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Jelasnya yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, antara lain RM200,000 turut diperuntukkan kepada Fama bagi membeli hasil petani dan menganjurkan Pasar Tani.

“Kerajaan juga memperuntukkan RM600,000 kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk membeli hasil tangkapan.

“Jadi, kami menggesa petani mahupun nelayan untuk berhubung dengan agensi terbabit bagi urusan menjual hasil masing-masing.

“Sebenarnya, petani dan nelayan di Betong, Samarahan, Meradong, Sibu, Limbang, Bintulu dan Miri antara yang sudah melakukan perkara tersebut,” ujarnya.

Di Betong misalnya baru-baru ini, Pejabat Pertanian Bahagian dan PPK Saribas telah membeli sebanyak 360 nanas daripada petani di Kubal Batu untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan di Betong termasuk penjawat awam.

Sumbangan disampaikan oleh Pegawai Pertanian Bahagian Betong Petrus Kang.

Suara Sarawak