KUALA LUMPUR: Sanggup terjun dari tingkat dua rumah kedai demi meloloskan diri daripada ditangkap pihak berkuasa antara tindakan nekad yang dilakukan pendatang tanpa izin ketika Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur melakukan beberapa serbuan di sekitar ibu negara, malam tadi.
Perbuatan dua lelaki warga Bangladesh yang cuba melarikan diri ketika serbuan di sebuah rumah kedai yang dijadikan rumah setinggan di Jalan Yew, Pudu itu berjaya digagalkan walaupun seorang daripada mereka berpura-pura patah kaki bagi mengelak ditahan.
Antara helah lain yang dikesan termasuk berlakon pengsan dan cuba menipu anggota penguat kuasa dengan mendakwa sedang dalam proses mendapatkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Tinjauan Bernama mendapati rata-rata warga tempatan meluahkan rasa lega dengan tindakan pihak berkuasa melakukan serbuan dan tangkapan kerana bimbang kawasan perniagaan seperti pasar Chow Kit dan Pudu semakin didominasi pendatang tanpa izin.
Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, seramai 28 anggota dan pegawai JIM terlibat dalam Op Selera dan Op Kutip yang dijalankan dari 10 malam hingga 2 pagi, membabitkan satu premis medan selera dan dua premis rumah kedai.
“Sebanyak 137 individu diperiksa dan 60 daripadanya ditahan terdiri daripada 17 lelaki dan 20 wanita warga Indonesia, 18 lelaki serta seorang wanita warga Myanmar, tiga lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki Pakistan.
“Dalam serbuan pertama di sebuah medan selera di Jalan Cheras, sebanyak 16 warga asing ditahan; manakala serbuan kedua di Pudu menyaksikan 30 orang ditahan, dan serbuan terakhir di sebuah rumah kedai di Jalan Raja Laut, berhampiran Chow Kit, kami menahan 14 pendatang tanpa izin,” katanya.
Beliau berkata, kesemua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) atau Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/63, bergantung kepada kesalahan masing-masing.
Selain itu, satu Borang Imigresen 29 (Saman Kepada Saksi) turut dikeluarkan sepanjang operasi dijalankan. – BERNAMA






