KUCHING: Pendekatan intergenerasi yang diserlahkan menerusi Bengkel Cakna Minda Warga Emas memperkukuh hubungan antara belia dengan warga emas, sekali gus memperluas kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental.
Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak Japri Bujang Masli berkata, bengkel tersebut bertujuan memberi pendedahan keperluan menjaga kesihatan mental dalam kalangan warga emas, serta membina kesedaran sokongan emosi dan psikologi yang diperlukan oleh golongan tersebut.
“Dalam dunia yang semakin moden, warga emas berisiko berasa terpinggir daripada masyarakat apabila memasuki fasa kehidupan baharu.
“Isu ini juga terjadi apabila anak-anak sudah bekerja, mereka mungkin berasa kesunyian dan kurang berinteraksi.

“Dengan adanya inisiatif seperti ini, wujudnya suasana dan persekitaran sosial sihat yang merupakan satu keperluan penting untuk memastikan kesihatan mental terjaga dan kualiti hidup,” katanya ketika ditemui pemberita di Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa konsep intergenerasi yang diterapkan dalam program tersebut juga menarik kerana interaksi antara generasi muda dengan warga emas dapat menggalakkan komunikasi dua hala, membina empati, serta mewujudkan suasana saling memahami dan menghormati.
Jelasnya, bengkel anjuran Kelab Digital Warga Emas (DIWARMAS) dengan kerjasama Pustaka Negeri Sarawak itu disertai kira-kira 35 peserta terdiri daripada warga emas dan belia.



“Penyertaan ini bukan sahaja menyasarkan kesihatan mental warga emas, tetapi juga memberi peluang kepada golongan belia untuk hadir memberikan sokongan dan bantuan sepanjang sesi berlangsung,” katanya.
Tambahnya, sebahagian besar peserta merupakan ahli DIWARMAS aktif mengikuti sesi literasi digital yang dijalankan setiap Selasa, Rabu dan Khamis di Pustaka Negeri Sarawak.
“Inisiatif ini adalah usaha berterusan untuk mengaktifkan warga emas dalam dunia digital, sekali gus membantu mereka kekal relevan dan berdikari dalam kehidupan seharian,” jelasnya.

