KUCHING: Kerajaan Sarawak mengiktiraf pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak sebagai pelaburan strategik terhadap rakyat serta masa depan negeri.
Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, perkara itu selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 dalam usaha menuju Sarawak yang makmur, inklusif dan mampan.

“Pembangunan tidak boleh hanya diukur berdasarkan jalan raya, jambatan, bangunan dan industri yang kita bina.
“Tetapi, pembangunan juga mesti diukur berdasarkan peluang yang kita sediakan kepada rakyat, bermula sejak peringkat awal kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Konvensyen Antarabangsa Prasekolah Sarawak (SPIC) 2026 di Hotel Waterfront di sini, hari ini.
Tambahnya, ketika Sarawak terus melangkah menjadi wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030, masa depan memerlukan rakyat yang berkemahiran tinggi.
Asas kepada kebolehan tersebut dibentuk sejak usia awal melalui hubungan yang kukuh dan selamat, interaksi bermakna, sifat ingin tahu, kreativiti serta keyakinan untuk meneroka dan belajar.
“Dalam hal ini, saya percaya terdapat empat keutamaan penting yang perlu terus diberi perhatian oleh Sarawak, termasuk memastikan kesaksamaan tanpa mengira faktor geografi.
“Seterusnya, menyediakan anak-anak untuk menghadapi masa depan; memperkukuh identiti sambil membina keyakinan di peringkat global; serta membangunkan sistem yang lebih bersepadu dan saling berkaitan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak mampu melaksanakan usaha tersebut secara bersendirian kerana pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak perlu difahami sebagai tanggungjawab bersama.
“Tanggungjawab ini melibatkan kerjasama antara keluarga, pendidik, komuniti, universiti, penyelidik, industri dan sektor swasta.
“Penyedia perkhidmatan dan pendidik dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak khususnya, perlu terus mengejar kecemerlangan kerana kualiti bukan sekadar satu keperluan yang perlu dipenuhi.
“Tetapi, kualiti merupakan tanggungjawab terhadap setiap kanak-kanak yang diamanahkan kepada penjagaan kita,” katanya.
Sementara itu, beliau memuji penganjuran SPIC 2026 yang memberi peluang penting kepada Sarawak untuk mempelajari pengalaman dan ilmu pengetahuan dari seluruh dunia.
“Saya juga percaya bahawa Sarawak mempunyai sesuatu yang bernilai untuk disumbangkan.
“Pengalaman kita dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat di kawasan geografi yang luas, melibatkan pelbagai budaya, bahasa dan cara hidup, memberikan pengajaran penting dalam aspek kebolehcapaian, keterangkuman dan inovasi,” ringkasnya.
Jelasnya, Sarawak juga harus belajar daripada amalan yang telah terbukti berkesan, menyesuaikan perkara yang sesuai dengan keadaan negeri dan mempunyai keyakinan untuk membangunkan penyelesaian sendiri.
“Saya berharap pertukaran ilmu menerusi konvensyen ini menyumbang kepada dasar yang lebih baik, institusi yang lebih kukuh, pendidik yang lebih terlatih, penyelidikan yang bermakna serta kerjasama yang lebih erat,” katanya.






