BINTULU: Pendidikan awal kanak-kanak perlu diberi perhatian bukan sahaja dalam aspek akademik, malah merangkumi pembangunan emosi, sosial, moral dan spiritual bagi melahirkan generasi yang seimbang serta berdaya saing.
ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, peranan ibu bapa dan penjaga amat penting dalam membentuk sahsiah serta nilai murni anak yang bakal menentukan hala tuju masyarakat pada masa depan.
Menurutnya, penganjuran Bengkel Kemahiran Keibubapaan Tabika dan Taska Permata Kemas Bahagian Bintulu 2025 membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh peranan ibu bapa sebagai pendidik utama di rumah.
“Melalui bengkel ini, saya percaya ibu bapa memperoleh ilmu dan kemahiran baharu yang boleh dipraktikkan dalam mendidik anak-anak.
“Pendekatan keibubapaan yang positif akan melahirkan generasi berdisiplin, berkeyakinan dan bersedia menghadapi cabaran dunia moden,” katanya ketika menyempurnakan majlis penutupan bengkel tersebut di bilik seminar Dewan Suarah di sini, pada Sabtu.
Jelas beliau, kerajaan negeri melalui Pelan Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 memberi penekanan kepada pembangunan modal insan sebagai teras utama.

Beliau turut memberi jaminan bahawa pendidikan awal kanak-kanak di Bintulu, khususnya di kawasan Tanjong Batu akan terus diperkasa agar setiap anak menikmati peluang pendidikan terbaik tanpa mengira latar belakang keluarga.
Tambahnya, pembangunan masyarakat yang sejahtera bermula dengan keluarga yang mempunyai asas kukuh dalam mendidik anak-anak.




