MIRI: Budaya inovasi perlu ditanam dan diperkukuh secara menyeluruh dalam sistem pendidikan kerana ia bukan lagi satu pilihan, tetapi keperluan bagi menghadapi cabaran dunia semasa.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, pendidikan dan inovasi tidak boleh dipisahkan kerana kedua-duanya menjadi asas penting dalam membina modal insan berkemahiran tinggi serta responsif akan kehendak industri.

“Melalui platform seperti Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), kita menyaksikan bagaimana guru, pensyarah dan warga institusi tampil dengan idea baharu yang mempertingkat keberkesanan pengurusan, mengoptimumkan sumber, serta memperkasa kaedah pengajaran dan pembelajaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) Datuk Francis Harden Hollis sempena majlis perasmian Pertandingan 1st National MiriKIKStart 2025 di Pustaka Negeri Sarawak, Miri di sini hari ini.
Menurutnya, pertandingan julung kali itu menjadi manifestasi komitmen warga pendidikan dalam menyokong usaha Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kerajaan Sarawak ke arah sistem pendidikan yang lebih berdaya tahan.
Beliau turut menyentuh peranan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang semakin signifikan dalam ekosistem pendidikan masa kini.
Pertandingan tersebut menerima penyertaan sebanyak 104 projek dari seluruh negeri, dengan 20 kumpulan terbaik dipilih ke peringkat akhir.
Beliau berharap agar semua idea yang diketengahkan dalam pertandingan dapat dikembangkan dan diterjemah kepada pelaksanaan sebenar di lapangan.



