BINTULU: Kerajaan Sarawak memperuntukkan pendidikan percuma di universiti milik kerajaan negeri bermula tahun hadapan mengikut jurusan yang ditawarkan, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada anak-anak Sarawak untuk melanjutkan pengajian tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, kemudahan itu membuktikan keprihatinan kerajaan negeri di bawah pimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Setiap anak-anak Sarawak berpeluang mendapatkan pendidikan terbaik tanpa terbeban dengan hutang.
“Sekarang, bukan sahaja lepasan ijazah atau diploma yang mempunyai kebolehpasaran dalam pekerjaan, malah sijil juga tidak kurang hebatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Bantuan Ace Didik di Pusat Khidmat Jepak di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, kerajaan negeri turut menyediakan elaun pendidikan sebanyak RM1,200 setahun bagi membantu meringankan beban pelajar.
Ujarnya, kerajaan negeri melalui Yayasan Sarawak turut membuka permohonan bagi pemberian komputer riba percuma.
Sehubungan itu, Iskandar memberitahu pelbagai bantuan disediakan oleh kerajaan negeri untuk memperkasa modal insan, khususnya kepada anak-anak di negeri ini.
“Ini adalah supaya anak-anak kita memperoleh ilmu, kemahiran serta peluang pekerjaan, seterusnya menyumbang kepada pembangunan negeri dan keluarga masing-masing.
“Pada masa sama, ia juga selaras dengan hala tuju Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menyasarkan pendapatan isi rumah sebanyak RM15,000 sebulan,” katanya lagi.
Tambah Iskandar, anak-anak perlu mengambil peluang yang disediakan ini dan fokus dengan pelajaran masing-masing.


