BINTANGOR: Usaha memperkukuh kualiti pendidikan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong terus diberi penekanan bagi memastikan warga sekolah menikmati suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih selesa serta kondusif.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata pendidikan merupakan asas penting dalam membentuk sokongan sosial yang positif di samping menjamin masa depan generasi muda.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif telah dan akan terus dilaksanakan bagi membantu sekolah rendah dan menengah di semua aliran, khususnya dari segi menaik taraf prasarana serta kemudahan pendidikan.
“Saya berusaha sedaya upaya untuk membantu sekolah-sekolah di kawasan ini melalui penambahbaikan prasarana di samping melengkapkan usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Hasrat saya adalah supaya para pelajar dapat menikmati persekitaran pembelajaran yang lebih baik dan selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meradong di sini, hari ini.
Kuong Hiing turut menyifatkan SMK Meradong sebagai sebuah institusi pendidikan yang mempunyai potensi besar untuk mencipta kecemerlangan bukan sahaja di peringkat daerah dan negeri, malah hingga ke peringkat kebangsaan serta antarabangsa, khususnya dalam bidang kokurikulum dan sukan.
Sehubungan itu, beliau yakin sekolah berkenaan mampu melahirkan lebih ramai pelajar yang berketrampilan, berdaya saing serta memiliki sahsiah terpuji.
“Saya percaya SMK Meradong akan terus mencapai kejayaan dalam aspek kurikulum, kokurikulum serta pembentukan sahsiah pelajar,” katanya.
Tambah beliau, penganjuran majlis berkenaan selaras dengan matlamat untuk memberi pengiktirafan, dorongan dan motivasi kepada para pelajar agar terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam semua bidang.


