ARTIKEL

Florince Christy (duduk, empat kiri) dan Minos (tiga kanan) merakam gambar kenangan bersama tetamu lain serta rakan strategik selepas sidang media di Bilik Mesyuarat MPKS, di sini, hari ini.

Penduduk Samarahan boleh jual barang terpakai sempena Kempen Beli Balik anjuran MPKS pada 30 Nov

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Penduduk di sekitar kawasan ini berpeluang untuk menjual barangan terpakai yang boleh dikitar semula sempena Kempen Beli Balik anjuran Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) pada 30 November kelak.

Acara yang akan berlangsung di Pusat Hijau Komuniti, Pasar Bandar Riyal, Kota Samarahan, dari 8 pagi hingga 12 tengah hari itu juga dilaksanakan untuk menangani cabaran alam sekitar yang mendesak dengan menggalakkan cara pelupusan dan kitar semula sisa yang betul.

Ahli Majlis MPKS, Dr Florince Christy berkata kempen tersebut memainkan peranan penting dalam usaha untuk menggalakkan amalan pengurusan sisa yang mampan serta memupuk kesedaran alam sekitar dalam kalangan masyarakat setempat.

Katanya, kempen itu juga sejajar dengan Agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) khususnya Matlamat 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab dan Matlamat 13: Tindakan Iklim.

Poster Kempen Beli Balik MPKS yang menyenaraikan barangan boleh dikitar semula.

“Selain itu, kempen ini juga bertujuan untuk mengurangkan kesan pengumpulan sisa alam sekitar, khususnya di tapak pelupusan sampah, dan memupuk budaya kelestarian dalam kalangan penduduk di kawasan Kota Samarahan,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat MPKS, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, tambahnya, MPKS menyeru orang ramai untuk membawa pelbagai barangan yang boleh dikitar semula termasuk peralatan elektrik atau elektronik, minyak masak terpakai yang dibeli dengan harga RM2.50 (1 kilogram), pakaian terpakai, dan banyak lagi.

Senarai harga barangan untuk Kempen Beli Balik MPKS.

“Setiap barangan ini juga akan dibeli dengan harga yang sudah ditetapkan, ini sebagai usaha untuk memberi ganjaran kepada individu yang menyokong pengurusan sisa dan tabiat pembuangan mampan.

“Kita berharap agar masyarakat mengambil peluang ini untuk menyumbang secara positif kepada alam sekitar kerana ia mampu memupuk persekitaran yang lebih bersih dan hijau di kawasan kita ini,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, Kempen Beli Balik barangan terpakai itu juga dilaksanakan melalui kerjasama strategik dengan Persatuan Buddhist Tzu Chi, Pengurusan Sisa DNS, dan Kim Huang Ent, yang menunjukkan kepentingan tindakan kolektif dalam menangani cabaran alam sekitar.

“Dengan bekerjasama dengan rakan kongsi ini, MPKS menyasarkan untuk mempamerkan kuasa perkongsian awam-swasta dalam memacu inisiatif alam sekitar yang memberi impak.

“Pengerusi MPKS, Datuk Peter Minos juga menegaskan komitmen kami untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan dan rakan kongsi komuniti untuk memperkenalkan lebih banyak inisiatif bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk sambil menangani kebimbangan alam sekitar,” jelasnya.

Kempen tersebut juga kali pertama dianjurkan oleh MPKS bermula pada 30 November ini dan akan diteruskan setiap bulan iaitu setiap minggu terakhir.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Kempen Beli Balik ini boleh menghubungi Unit Alam Sekitar MPKS di talian 082-669000.

BERITA LAIN

Billy Mahu ICQS Biawak Dinaik Taraf

KUCHING: Cadangan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak perlu diberi perhatian bagi merancakkan perdagangan rentas sempadan di antara Sarawak dengan Kalimantan

BERITA TERBARU

Billy Mahu ICQS Biawak Dinaik Taraf

KUCHING: Cadangan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak perlu diberi perhatian bagi merancakkan perdagangan rentas sempadan di antara Sarawak dengan Kalimantan