SERIAN: Penduduk yang enggan dipindahkan semasa banjir tidak akan layak menerima bantuan wang ihsan, tegas Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata, dasar itu jelas — apabila terdapat tanda-tanda air memasuki rumah, penduduk mesti berpindah demi keselamatan diri dan keluarga.
“Jika tidak berpindah, mereka tidak layak untuk mendapat wang ihsan,” katanya kepada media ketika melawat PPS Dewan Ranchan, di sini, hari ini.
Selain itu, pihak berkuasa mengambil pendekatan fleksibel dalam mengatur susunan pemindahan di kawasan terjejas banjir, dengan pusat pemindahan sementara (PPS) tambahan akan diaktifkan mengikut keperluan semasa.
Uggah berkata Pusat Konvensyen Serian boleh digunakan sekiranya PPS sedia ada di kawasan itu tidak mencukupi, dan menegaskan bahawa komuniti yang akan ditempatkan di PPS tidak dapat ditentukan lebih awal kerana keadaan banjir boleh berubah dengan cepat.
“Contohnya, PPS di Kampung Slabi terpaksa dipindahkan selepas pusat itu dinaiki air. Oleh itu, kita membuat keputusan mengikut situasi semasa.
“Pada masa ini, Dewan Masyarakat Serian sedang digunakan sebagai PPS dan mangsa banjir sudah ditempatkan di sana,” katanya.
Sehingga jam 12 tengah hari, Serian kekal sebagai bahagian paling terjejas, dengan 26 PPS menempatkan 1,779 mangsa daripada 507 buah rumah, iaitu jumlah tertinggi direkodkan di seluruh negeri.
Uggah memuji kecekapan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di peringkat bahagian serta Residen Serian, dan menegaskan operasi pemindahan dijalankan 24 jam, bermula seawal jam 3 pagi.
Beliau menasihati penduduk supaya segera melaporkan paras air yang meningkat kepada pejabat residen bahagian dan tidak menunggu sehingga air memasuki rumah mereka.
“Jangan tunggu sehingga air sampai ke bumbung untuk membuat laporan kepada pejabat residen. Jika lewat, pada ketika itu mungkin sudah terlambat dan menyukarkan pengurusan perpindahan,” katanya.


