KABONG: Krisis bekalan air bersih yang dihadapi penduduk di Kabong berterusan hari ini (Khamis) apabila pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) gagal melepaskan air dari Loji Rawatan Air (LRA) Lichok sebagaimana yang dimaklumkan pada Selasa.
Notis rasmi terbaharu JBALB yang dikeluarkan menyatakan pihaknya gagal berbuat demikian kerana LRA Lichok masih berdepan masalah kekurangan air mentah untuk dirawat dan tidak dapat beroperasi seperti biasa untuk membekalkan air kepada penduduk, terutamanya ke kawasan Kabong.

Sehubungan dengan itu, pihak JBALB menyatakan usaha membantu penduduk akan diteruskan dengan cara menghantar air menggunakan lori tangki.
Selain itu, pihak JBALB turut mengambil inisiatif mewujudkan beberapa pili air awam di Simpang Nyabor bagi memudahkan penduduk di kawasan sekitar mendapatkan air bersih secara percuma.
Penghulu Haji Kamaluddin Haji Ramli yang dihubungi memberitahu pihak JBALB mewujudkan pili air awam di Simpang Nyabor sebagai antara usaha memberi kemudahan kepada penduduk sekitar yang terjejas bekalan air bersih.
Namun, bagi penduduk yang jauh dan tidak mempunyai kemudahan kenderaan, paip air yang disediakan di Simpang Nyabor juga tidak membantu meringankan masalah yang sedang dihadapi.
Penghulu Kabong, Haji Rahman Dom ketika dihubungi sebentar tadi mengesahkan sehingga jam 12.30 tengah hari tadi tiada air paip dari loji Lichok diterima penduduk pada hari ini.
Penduduk kini katanya hanya menunggu penghantaran air bersih dari lori JBALB yang kini sedang mengagihkan air ke kawasan penduduk yang terlibat.
Penghulu Rahman turut memaklumkan usaha mengagihkan air minuman botol (air mineral) akan diagihkan kepada penduduk di kawasan yang terjejas teruk dalam masa terdekat.
Sehubungan dengan itu, penduduk yang ditemui berharap pihak JBALB dan pihak yang berkenaan akan terus mencari jalan yang terbaik bagi mengatasi masalah bekalan air yang dihadapi penduduk Kabong ketika ini.




