KEMARAU panjang yang melanda Sarawak sejak beberapa minggu lalu mula mengundang kebimbangan penduduk, khususnya mereka yang masih bergantung kepada sumber air semula jadi untuk kegunaan harian.
Bagi penduduk yang belum menikmati kemudahan bekalan air terawat, keadaan cuaca kering bukan sekadar menyebabkan bahang terasa lebih terik, malah memaksa mereka mencari alternatif untuk mendapatkan air.
Di Kampung Perpat, keadaan setakat ini masih terkawal, namun penduduk mula bimbang sekiranya hujan terus tidak turun dalam tempoh yang panjang.
Ketua Kampung Tengah Perpat, Azman Nawi berkata, telaga menjadi antara sumber air utama penduduk ketika musim kemarau.
Namun, katanya lagi, bekalan itu juga tidak mampu bertahan sekiranya hujan tidak turun untuk tempoh yang lama.
“Bayangkan jika tiada hujan dalam tempoh seminggu ini, air telaga pun akan kering,” katanya kepada Suara Sarawak.

Menurutnya, kemarau yang berlarutan bukan sahaja menjejaskan bekalan air, malah menyukarkan urusan harian penduduk yang memerlukan air untuk mandi, memasak, mencuci dan menyelesaikan urusan harian lain.
“Bagi penduduk Kampung Perpat, seandainya dua minggu berturut-turut tiada hujan, air simpanan untuk masa kecemasan habis digunakan.
“Mahu tidak mahu, penduduk mula mengangkut air dari telaga dan parit yang jauhnya kira-kira 600 hingga 700 meter dari rumah.
“Memang menyukarkan. Orang kata alah bisa tegal biasa, tetapi kalau kemarau berpanjangan, ia tetap memenatkan, lebih-lebih lagi apabila air diperlukan untuk pelbagai urusan harian,” ujarnya.
Azman berkata, beberapa telaga yang digunakan penduduk ketika ini juga sudah berusia belasan tahun dan menjadi sumber penting apabila hujan tidak turun.
Bagaimanapun, katanya, kebimbangan tetap ada kerana paras air telaga bergantung kepada keadaan cuaca dan sumber air bawah tanah.
“Kalau seminggu lagi tiada hujan, kita risau air telaga akan kering.
“Kalau keadaan berterusan, penduduk memang akan berdepan kesukaran,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau berharap Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dapat mempercepatkan usaha menyalurkan bekalan air terawat ke Kampung Perpat demi keselesaan kira-kira 1,500 penduduk, termasuk mereka yang tinggal di rumah panjang berdekatan.
Menurutnya, projek sambungan bekalan air ke kawasan berkenaan telah lama dinantikan penduduk.
“Harapan kita, kalau boleh tahun ini atau sekurang-kurangnya tahun hadapan, penduduk Kampung Perpat dapat menikmati bekalan air bersih seperti kawasan lain.
“Kalau bekalan air paip sudah ada, sekurang-kurangnya kita tidak terlalu bergantung kepada telaga, parit atau air hujan apabila musim kemarau,” katanya.
Dalam pada itu, Azman berkata, kepimpinan kampung sentiasa komited mengambil tindakan sekiranya keadaan bekalan air menjadi semakin kritikal.
Katanya, permohonan bantuan akan dibuat kepada agensi berkaitan termasuk melalui pusat khidmat wakil rakyat bagi memastikan keperluan asas penduduk tidak terabai.
“Menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, kita lazimnya dibantu dalam bentuk air botol oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Betong.
“Setiap isi rumah akan mendapat dua kotak air botol. Syukur, bantuan seperti ini banyak membantu penduduk ketika keadaan bekalan air terjejas.
“Begitu juga pihak JBALB, akan membantu menyalurkan air tangki yang dihantar menggunakan lori apabila diperlukan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri yang sentiasa mengambil berat keperluan penduduk, terutama ketika berdepan keadaan cuaca kering dan kekurangan bekalan air.
Mengimbau pengalaman lalu, Azman berkata, kemarau paling teruk pernah dialami penduduk Kampung Perpat berlaku pada Julai 2023 apabila sumber air hampir keseluruhannya terjejas.
“Ketika itu, keadaan sangat kritikal. Air parit kering, air telaga pun kering hingga banyak ikan timbul.
“Namun dalam setiap ujian yang diturunkan, ada juga rezeki yang datang.
“Ketika air surut dan parit kering, ikan seperti keli, haruan dan sepat mudah ditangkap,” katanya sambil tersenyum.
Bagaimanapun, katanya, pengalaman itu tidak bermakna penduduk mahu berdepan kemarau berpanjangan sekali lagi kerana kesannya terhadap kehidupan harian tetap besar.
Dalam masa sama, Azman menasihatkan penduduk supaya lebih menjaga kesihatan ketika cuaca panas dan kering, selain mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang boleh mencetuskan kebakaran serta memburukkan keadaan udara.
“Dalam keadaan sekarang, kita sama-sama kena berjaga-jaga. Gunakan air dengan berhemah, elakkan pembaziran dan jangan lakukan pembakaran terbuka.
“Kalau ada hujan, kita bersyukur. Kalau belum ada, kita kena bersedia dan saling membantu,” tegasnya.




