DARO: Penduduk di kawasan berisiko diingatkan agar mematuhi setiap arahan keselamatan, termasuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekiranya diarahkan pihak berkuasa, bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga sentiasa terpelihara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro merangkap Pengerusi Lembaga Sungai Sarawak (LSS), Dr Safiee Ahmad berkata, penduduk yang tinggal berhampiran sungai perlu berwaspada serta peka terhadap perubahan cuaca dan persekitaran.
“Kita kini berada dalam fasa Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka membawa hujan lebat berterusan sehingga Mac depan serta berpotensi meningkatkan risiko banjir di beberapa kawasan. Penduduk di kawasan sungai perlu sentiasa memantau paras air dan keadaan cuaca semasa,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Randau Pembangunan Sosial (RPS) Bahagian Mukah 2025 di Dewan Kampung Pangtray, hari ini.
Dr Safiee berkata, pihaknya telah mengeluarkan peringatan awal berhubung langkah berjaga-jaga kepada penduduk di kawasan berisiko banjir. Menurutnya, LSS meneruskan pemantauan rapi serta bekerjasama dengan jawatankuasa bencana di peringkat daerah, bahagian dan negeri bagi memastikan maklumat penting dapat disalurkan dengan cepat.
“Semua usaha ini bertujuan memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku musibah banjir,” katanya.
Beliau menambah, kesiapsiagaan aset turut diperkukuh bagi membolehkan bantuan disalurkan dengan segera apabila diperlukan. Sehubungan itu, katanya, persiapan awal oleh pelbagai agensi amat penting bagi mengurangkan kesan buruk bencana, khususnya melalui pemakluman awal kepada penduduk di kawasan berisiko tinggi.
Jelasnya, pematuhan masyarakat terhadap arahan pihak berkuasa dapat memastikan keseluruhan proses pengurusan bencana berjalan lancar.
“Setiap langkah ini bertujuan menjaga keselamatan dan kebajikan rakyat. Kerjasama masyarakat amat diperlukan bagi memastikan usaha yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan,” ujarnya.




