Penduduk lega terima bantuan ADUN Repok

SARIKEI: Penduduk menarik nafas lega apabila menerima sumbangan bantuan makanan daripada ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii hari ini.

Sumbangan fasa pertama itu diterima penduduk lapan buah rumah panjang iaitu Rumah Lingga (73 pintu), Rumah Jawa (11 pintu), Rumah Sabah (15 pintu), Rumah Ugil (17 pintu), Rumah Bansa (14 pintu), Rumah Rampai (21 pintu), Rumah Banun (13 pintu) dan Rumah Sumpun (26 pintu).

Jurucakap Pusat Khidmat N.45 Repok berkata, pihak sedang menyelenggarakan bantuan untuk diagihkan secara berperingkat-peringkat.

“Hari ini, kita mensasarkan agihan kepada sekurang-kurangnya 600 penempatan termasuk rumah panjang,” katanya.

Sumbangan membuktikan keperihatian kerajaan terhadap mereka yang memerlukan khususnya ketika negara berdepan ancaman wabak Covid 19.

Sehubungan itu, Huang berkata, kerajaan berusaha sebaik mungkin untuk menyalurkan bantuan itu kepada penerima di kawasan DUN N.45 Repok tanpa fahaman politik.

Katanya, kerjasama semua pihak penting bagi memastikan agihan bantuan berjalan lancar.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana meluluskan peruntukan bantuan PKP kepada penduduk kawasan ini.

“Pada masa yang sama, saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat, membolehkan bantuan ini dipercepatkan demi membantu mereka yang memerlukannya.

“Justeru, mereka yang belum menerimanya harus bersabar, kita akan memastikan bantuan sampai ke tangan mereka yang layak,” katanya.

Suara Sarawak