MATU: Penduduk di kawasan Matu disaran memuat turun aplikasi MCMC Nexus bagi membolehkan mereka menyemak keadaan rangkaian Internet dan telekomunikasi di kawasan masing-masing, selain membantu mengenal pasti masalah capaian yang dihadapi.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, penggunaan aplikasi berkenaan dapat membantu penduduk mendapatkan gambaran kualiti rangkaian di lokasi mereka, terutama di kawasan yang berdepan gangguan atau capaian tidak konsisten.

“Kemudahan ini wajar dimanfaatkan susulan kebergantungan masyarakat dengan perkhidmatan Internet yang semakin meningkat, termasuk untuk urusan perniagaan dalam talian.
“Penduduk masa kini banyak melakukan perniagaan dalam talian, termasuk masyarakat di kawasan ini.

“Justeru, sekiranya terdapat masalah berkaitan capaian Internet, perkara itu boleh dikenal pasti dan dimaklumkan melalui saluran yang bersesuaian bagi membolehkan tindakan susulan diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Dialog Pembangunan Sarawakku Sayang Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng Siri 5 di Dewan Kampung Loba Balu, di sini, hari ini.

Juanda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng berkata, pemantauan secara berkala ke atas kualiti dan liputan rangkaian turut penting bagi memastikan sebarang kelemahan dapat dikenal pasti dan ditangani dengan sewajarnya.
Katanya, perkembangan teknologi digital menjadikan kemudahan Internet semakin penting dalam kehidupan seharian, termasuk untuk urusan pekerjaan, pendidikan, perniagaan dan komunikasi.

Sementara itu, dialog berkenaan melibatkan enam kampung di Zon Loba Balu iaitu Kampung Loba Balu, Kampung Sok, Kampung Halud, Kampung Bertong, Rumah Entoi dan Rumah Bareng.
Katanya, sesi berkenaan memberi ruang kepada penduduk mengemukakan secara langsung pelbagai permasalahan yang dihadapi di kawasan masing-masing.
“Selain isu berkaitan Internet, penduduk turut membangkitkan beberapa perkara lain termasuk kehadiran haiwan liar atau ganas, pemutihan tanah perkuburan Islam serta masalah berkaitan sistem perparitan.
“Pelbagai isu dikemukakan penduduk dan perkara seperti ini perlu kita ambil maklum supaya tindakan susulan dapat dikenal pasti serta dibawa kepada agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing,” ujarnya.

