SELANGAU: Lebih kurang 20 buah pintu bilik di Rumah Akok, Tabau Sedanau, Stapang Oya merasa bimbang berikutan kejadian tanah runtuh yang berlaku pada petang semalam.
Kejadian tersebut terjadi akibat hujan lebat yang berterusan dan keadaan ini membimbangkan penduduk rumah panjang berkenaan.
Malah tanah runtuh tersebut berdekatan halaman rumah panjang mereka yang boleh membahayakan keadaan penduduk rumah panjang berkenaan.
Mengulas perkara tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir Christopher Gira Sambang berkata, beliau dimaklumkan perkara tersebut oleh pihak ketua masyarakat.
“Sejurus selepas menerima makluman ini, saya terus menghubungi agensi berkaitan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.
“Tindakan segera perlu dilakukan untuk membantu mereka yang terjejas dan saya bimbang kepada keselamatan penduduk,” ujar Gira.
Menurut Gira lagi, laporan kejadian tanah runtuh tersebut juga telah dimaklumkan kepada Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) untuk tindakan.
“Menerusi Kaunselor Chrsitopher Kusa, beliau turut mengesa pihak daripada Pejabat Daerah Selangau untuk mengambil tindakan awal.
“Manakala tindakan selebihnya akan dilakukan menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sibu demi menjaga penduduk setempat,” ujarnya ketika dihubungi Suara Sarawak.
Hasil maklumat awal, punca kejadian berkemungkinan berlaku berikutan hujan lebat beberapa hari sebelum ini dan menyebabkan berlaku pergerakan tanah.



