ARTIKEL

ALLEN ARAN

Penduduk Saratok Bakal Tinggalkan Feri Selamanya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARATOK: Penantian penduduk di sekitar daerah Pusa, Kabong dan Saratok untuk menikmati kemudahan perhubungan yang lebih lancar kini hampir berakhir susulan kejayaan penyambungan segmen terakhir struktur Jambatan Sungai Krian.

Ketua Kampung Batang Maro, Allen Aran berkata, pembinaan jambatan berkenaan merupakan satu perkembangan yang amat disyukuri memandangkan ia memudahkan pergerakan harian penduduk setempat.

“Saya bersyukur kerana pembinaan jambatan ini memudahkan perjalanan.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana selepas ini tiada lagi isu menunggu feri malah tiada lagi yang terpaksa berpatah balik kerana feri tidak beroperasi,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Menurut beliau, penduduk kini semakin hampir untuk menggunakan jambatan berkenaan dan menjangkakan kehadiran orang ramai akan meningkat menjelang sambutan Syawal nanti berikutan perjalanan yang lebih efisien.

Sementara itu, Penghulu Kampung Beladin, Zakaria Mos berkata simbolik penyambungan segmen terakhir itu menandakan projek berkenaan berada di fasa akhir sebelum dibuka kepada penggunaan umum pada Mac depan.

“Mewakili penduduk sekitar yang kerap menggunakan laluan ini, saya menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak.

“Apabila siap kelak ia akan memudahkan perhubungan dengan penjimatan masa perjalanan kira-kira setengah jam,” ujarnya.

Tambahnya, selain melancarkan urusan harian jambatan itu juga dijangka merancakkan kegiatan ekonomi penduduk setempat menerusi rantaian perniagaan yang lebih meluas.

Zakaria turut menzahirkan rasa gembira apabila jambatan berkenaan dijangka dapat digunakan menjelang Aidilfitri dengan harapan aktiviti ziarah akan lebih lancar tanpa perlu bergantung kepada perkhidmatan feri.

Dalam pada itu Penghulu Ulu Krian dan Batang Budu, Anyum Kinyeh turut meluahkan rasa terharu dengan pembangunan yang dibawa oleh Kerajaan Sarawak ke kawasan luar bandar.

“Saya tidak menyangka dapat menyaksikan pembangunan hebat seperti ini.

“Jika sebelum ini perlu menunggu feri namun selepas ini tidak sampai seminit sudah boleh menyeberang sungai dengan adanya jambatan yang tersergam indah ini,” jelasnya.

Katanya lagi, usaha kerajaan membina jambatan tersebut bukan sahaja memendekkan masa perjalanan malah memberi impak besar kepada peningkatan taraf ekonomi penduduk.

“Kerajaan Sarawak sangat prihatin terhadap rakyatnya. Harapan saya agar program pembangunan seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya.

Pembinaan Jambatan Sungai Krian dilihat sebagai pemangkin utama kepada kemajuan sosial dan ekonomi penduduk setempat sekali gus menamatkan kebergantungan terhadap perkhidmatan feri yang sebelum ini menjadi nadi utama pengangkutan menyeberangi sungai.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU