KANOWIT: Penduduk Sungai Poi di sini sebulat suara bersetuju agar operasi menangkap dan memindahkan buaya dilaksanakan segera berikutan ancaman reptilia itu.
Sarawak Forestry Corporation (SFC) memaklumkan persetujuan itu dicapai pada sesi perbincangan bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Sungai Poi di Bilik Mesyuarat Majlis Daerah Kanowit pada Rabu.
Mesyuarat yang dipengerusikan Penghulu Uding itu dihadiri 19 tuai rumah dan wakil rumah panjang, selain taklimat oleh pegawai Bahagian Penguatkuasaan dan Perlindungan Sibu, SFC.
“Antara perkara dibincangkan ialah pengurusan buaya di Sarawak, pelaporan melalui sistem CrocWatch, kempen 3M Buaya (Mengenali, Memahami, Memulihara), bantuan kes serangan hidupan liar serta tindakan menangani konflik manusia-buaya,” kata kenyataan itu, hari ini.
SFC turut memaklumkan lima lokasi berisiko tinggi dikenal pasti iaitu Nanga Gerunu Mit, Nanga Cheling, Nanga Tatai, Nanga Ayam dan kawasan Jambatan Poi.
Laporan penduduk mendapati terdapat kes pukat rosak, haiwan peliharaan dimakan buaya dan cubaan serangan ketika penduduk mandi di jeti.
Sehubungan itu, SFC memohon kebenaran adat untuk menjalankan operasi tangkap dan pindah buaya di kawasan terbabit.
KMKK yang hadir menyatakan sokongan penuh terhadap operasi tersebut dan berharap ia dapat dilakukan segera demi keselamatan penduduk.
SFC dalam pada itu menyeru komuniti agar terus bekerjasama serta melaporkan sebarang kejadian berkaitan buaya menerusi sistem CrocWatch.
— TVS

