ARTIKEL

P1-P2: ISU…Keadaan limpahan air yang teruk sehingga menyebabkan banjir lumpur di kawasan Jalan Jambusan.

Penduduk Taman Mawar merayu tangani segera masalah banjir, bahaya ketika musim hujan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BAU: Majlis Daerah Bau (MDB) digesa agar menangani permasalahan banjir yang kerap berlaku disebabkan pelaksanaan projek pembinaan di Jalan Jambusan, di sini.

Ahli Parlimen Mas Gading Mordi Bimol menegaskan, disebabkan projek yang tidak diketahui identiti pemaju dan butiran pembinaan tersebut, menyebabkan pelbagai masalah membelenggu masyarakat di kawasan sekitar.

“Projek ini bukan sahaja menyebabkan limpahan air yang teruk namun turut mengakibatkan banjir yang kerap dengan air dan lumpur kotor dan berbau busuk.

“Masalah ini amat membahayakan kesihatan serta keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya susulan selama beberapa bulan, air kotor telah membanjiri jalan raya dengan keadaan bertambah buruk semasa musim hujan.

“Keadaan ini telah menyebabkan ketidakselesaan; kesulitan dan risiko kesihatan yang ketara kepada masyarakat setempat dan mereka yang menggunakan jalan raya,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut Mordi, disebabkan hal tersebut, pengguna jalan raya terutama penduduk Taman Mawar sering kali membuat aduan mengenai projek berkenaan.

Katanya, meskipun banyak aduan dikemukakan kepada MDB, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan serta Saliran, tiada penjelasan atau penyelesaian yang ketara diselesaikan.

“Isu ini juga sering kali mendapat tarikan di media sosial sehingga menyebabkan kekecewaan masyarakat.

“Walaupun maklum balas daripada agensi ini telah diterima, mereka mendakwa tidak mengetahui identiti pemaju dan butiran pembinaan yang sedang dijalankan.

“Maklumat terkini daripada Jabatan Tanah dan Ukur Sarawak mendedahkan bahawa MDB mendapatkan nasihat daripada Unit Perancang Negeri berhubung permohonan permit daripada Pemaju San Chin.

“Bagaimanapun, permohonan permit itu ditolak kerana ketiadaan pelan kejuruteraan. Namun begitu, pembinaan tetap diteruskan tanpa kebenaran sewajarnya, memburukkan lagi risiko keselamatan alam sekitar dan awam,” tegasnya.

Menurut Seksyen 8 Ordinan Bangunan kata Mordi, lesen daripada Jabatan Tanah dan Ukur diperlukan untuk sebarang projek pembinaan; pengalihan atau pengangkutan bahan dari tanah.

Bagi kerja tanah permit dan kelulusan hendaklah dikeluarkan oleh Kerajaan Tempatan—dalam kes ini, MDB, ujarnya.

“Ini menimbulkan persoalan kritikal: Bagaimana mungkin MDB tidak mempunyai pengetahuan mengenai projek pembinaan yang berlaku di Taman Mawar? Adakah pembinaan ini dijalankan tanpa permit yang sah?

“Walaupun penglibatan kami dengan agensi yang dinyatakan di atas dan komunikasi rasmi telah dihantar kepada Setiausaha MDB pada 3 September 2024, dan e-mel susulan pada 10 September 2024, kami masih belum menerima maklum balas.

“Bagi pihak penduduk Taman Mawar, saya dengan segera menyeru tindakan segera dan tegas bagi menangani isu yang mendesak ini.

“Ketiadaan tindakan berterusan bukan sahaja mengancam kesihatan dan keselamatan awam, tetapi juga menjejaskan keyakinan terhadap tadbir urus tempatan.

“Kami menuntut akauntabiliti, ketelusan dan tindakan segera daripada semua pihak yang terlibat,” katanya.

Pada masa sama kata Mordi, semua agensi berkaitan terutamanya Kerajaan Tempatan perlu bertindak pantas dan menyelaraskan usaha mereka untuk menyelesaikan isu-isu ini.

Ini kerana, komuniti bergantung pada tindak balas yang berkesan untuk mengurangkan risiko dan memulihkan keadaan.

“Tindakan segera dan terkoordinasi penting untuk menangani masalah ini dan memastikan keselamatan awam,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU