BINTULU: Aktiviti memasak kini lebih mudah dan selamat bagi penduduk di Taman Saberkas Jaya, di sini, selepas PETROS memperluas bekalan gas asli berpaip terus ke kediaman mereka.
Menurut kenyataan PETROS hari ini, sambungan rumah pertama siap pada Disember 2025 sekali gus membuka peluang kepada penduduk menikmati tenaga yang lebih dipercayai, murah dan mesra alam.
‘’Projek Taman Saberkas Jaya merupakan sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR), inisiatif Kerajaan Sarawak yang dilaksanakan oleh PETROS.
‘’Ia melibatkan pemasangan paip dalaman di kediaman serta pembinaan paip utama sepanjang jalan pesisir Bintulu–Samalaju, bagi memastikan penghantaran gas berpaip selamat dan berkesan,’’ kata kenyataan itu.
Dalam kenyataan yang sama, empat rumah pertama kini menikmati kemudahan gas berpaip, manakala 21 rumah lagi dijangka disambungkan secara berperingkat menjelang akhir Februari 2026.
Selain kemudahan harian, projek ini membuka peluang jangka panjang bagi komuniti setempat. Penyambungan rangkaian paip utama mewujudkan platform strategik untuk pengembangan rangkaian gas ke kawasan kediaman, komersial dan industri di sepanjang jalan pesisir Bintulu–Samalaju pada masa depan.
PETROS menekankan projek ini sejajar dengan matlamat meningkatkan penggunaan gas domestik negeri daripada enam peratus kepada sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang 2030, sambil menyokong keselamatan tenaga jangka panjang dan peralihan tenaga Sarawak.
‘’Dengan pengembangan ini, PETROS terus menunaikan mandatnya sebagai gas aggregator Sarawak, memastikan sumber gas negeri diterjemahkan kepada manfaat sebenar untuk rakyat.
‘’Projek ini membuktikan bahawa teknologi dan infrastruktur memberi manfaat kepada kehidupan seharian dan memberi impak positif kepada komuniti,’’ kata kenyataan itu.

