BINTULU: Kejadian banjir buruk yang melanda beberapa bulan lalu menjadi peringatan kepada semua pihak akan keperluan mendesak untuk menilai semula sistem saliran dan kapasiti sungai di kawasan pesat membangun.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan, langkah jangka panjang seperti mendalamkan Sungai Sebiew serta penempatan semula penduduk di sepanjang tebing sungai perlu diberi keutamaan bagi mengurangkan risiko bencana serupa berulang.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akhbar Khan pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri MOTAC Bersama Komuniti @Bintulu 2025 di Arena Petanque Jepak, malam tadi.
Tiong, yang juga Ahli Parlimen Bintulu berkata, bengkel projek tebatan banjir dan penempatan semula setinggan serta penduduk tebingan Sungai Sebiew diadakan di Putrajaya pada 25 dan 26 Februari lalu bagi menyelaras tindakan antara agensi berkaitan.

“Lokasi penempatan semula dikenal pasti di kawasan Jepak dan Sungai Plan bagi memastikan kerja-kerja mendalamkan sungai serta usaha tebatan banjir tidak terhalang isu setinggan atau penempatan tidak terancang,” jelasnya.
Menurut beliau, pelaksanaan projek ini akan dipantau secara rapi dan dijangka dimulakan dalam masa terdekat demi keselamatan dan kesejahteraan penduduk Bintulu.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan penyebaran maklumat palsu serta penyalahgunaan imej beliau oleh pihak tidak bertanggungjawab.


