MIRI: Penduduk Kampung Luak, Miri dikejutkan dengan penemuan mayat seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat di dalam longkang berhampiran Sekolah Menengah Sains Miri, pagi tadi.
Penemuan menyayat hati sekitar jam 9.50 pagi itu, apabila seorang pekerja syarikat kontraktor sedang menjalankan kerja pemasangan paip bawah tanah di Lorong Aru 8, Kampung Luak ternampak sesuatu yang mencurigakan di dalam parit berhampiran tapak kerja.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Polis (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah, mayat bayi perempuan itu ditemui dalam keadaan cukup sifat dan masih mempunyai tali pusat.
“Bayi berkenaan disahkan meninggal dunia dan mayatnya telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Miri bagi tujuan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Pihak polis tidak menolak kemungkinan bayi berkenaan baru sahaja dilahirkan dan kemudian dibuang di lokasi kejadian.
“Sehubungan itu, pihak polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kes tersebut di media sosial kerana boleh menimbulkan keresahan awam dan mengganggu siasatan.
“Mereka yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini diminta tampil untuk membantu siasatan dan disalurkan secara terus kepada IPD Miri di talian 085-433400 / 085-433730 atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Insp. Nor Sharilazuwan Mohammad di talian 011-23321957,” jelas beliau.
Terdahulu, tular di media sosial gambar dan video penemuan mayat bayi tersebut yang masih bertali pusat di dalam longkang.


