Penerbangan ke Sibu dan Miri dikurangkan bermula 9 Januari ini

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memutuskan untuk mengurangkan kekerapan penerbangan ke Sibu dan Miri berkuat kuasa 9 Januari ini, kata Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat pada 5 Januari lalu selepas pihaknya menerima permohonan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu dan Miri.
“Selain itu, pertimbangan kita mendapati jumlah bilik hotel adalah terhad untuk tujuan kuarantin dan kes positif Covid-19 di Semenanjung dan Sabah semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, kementeriannya telah menulis surat kepada MAS, Air Asia dan Maswings pada 5 Januari mengenai penerbangan yang telah diluluskan.
“Jadual penerbangan baharu untuk Sibu dan Miri akan berkuasa kuasa pada hari Sabtu ini, namun untuk penerbangan Airasia dari Johor Baharu ke Sibu, penerbangan terakhir adalah pada 9 Januari ini.
“Selepas itu, tidak akan ada lagi penerbangan dari Johor ke Sibu sehingga diberitahu kelak,” ujarnya.
Katanya lagi, setiap syarikat penerbangan diberi waktu penerbangan yang berbeza untuk membantu mendapatkan muatan penumpang yang lebih baik serta merancang keseluruhan jadual penerbangan mereka.
“Saya ingin mengingatkan semua syarikat penerbangan agar hanya menjual tiket penerbangan mengikut jadual penerbangan yang diluluskan oleh JPBNS.
“Di samping itu, orang ramai disarankan untuk menempah atau membeli tiket penerbangan berdasarkan jadual penerbangan terbaru yang disetujui JPBNS,” tambahnya.
Beliau turut mengingatkan syarikat penerbangan untuk tidak membatalkan penerbangan pada saat akhir bagi mengelakkan masalah kepada orang ramai
Perincian mengenai jadual penerbangan dan kekerapan terkini ke Sibu dan Miri adalah seperti di lampiran dua gambar di bawah.

Jadual penerbangan ke Sibu bermula 9 Januari.

Kekerapan jadual penerbangan ke Miri berkuatkuasa 9 Januari ini

Suara Sarawak