Penerbangan terus Haikou-Kuching ditunda

KUCHING: Penerbangan terus antara Haikou, Hainan dan Kuching, Sarawak yang dijadual dilancar pada suku pertama tahun ini dijangka ditangguhkan ekoran penularan koronavirus di China.

Ia susulan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mungkin perlu menunda lawatannya ke Hainan pada Mac nanti bagi menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama itu.

“Saya tengok dulu sama ada perlu tangguh atau tidak MoU ini, sebab penularan wabak ini sangat serius,” katanya.

Beliau ditemu bual semasa mengiringi Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengadakan kunjungan Tahun Baru Cina di kediaman Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian di sini, hari ini.

Hainan Airlines, syarikat penerbangan bertaraf lima bintang SKYTRAX antarabangsa dijangka melancarkan jadual penerbangan terus antara Haikou-Kuching pada Mac 2020.

Ia dijangka mengendalikan dua hingga tiga penerbangan seminggu menggunakan pesawat B737-800 dengan 164 kerusi ekonomi termasuk lapan kerusi kelas perniagaan.

Syarikat penerbangan itu kini berada di peringkat akhir cadangan mendapatkan slot pendaratan sementara menunggu kelulusan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam China dan Malaysia.

Dengan ada penerbangan terus antara kedua-dua wilayah ini, ia secara tidak langsung meningkatkan sistem perhubungan udara Sarawak dengan negara luar sekali gus menyumbang kepada sektor pelancongan, khasnya dalam membawa kemasukan pelancong dari China.

Suara Sarawak