KUCHING: Penerbangan terus Kuching-Pontianak dijangka disambung semula setelah Indonesia membuka semula ruang udara dari Pontianak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, usaha tersebut dibuat beberapa tahun yang lalu, namun memerlukan kelulusan pihak berkuasa Indonesia.
Jelasnya, kelulusan untuk membuka semula ruang udara itu perlu melalui dekri Presiden Indonesia.
“Baru-baru ini saya dimaklumkan bahawa mereka akan membuka semula ruang udara tersebut. Jadi kini terpulang kepada syarikat penerbangan untuk memulakan operasi.
“Mungkin sudah ada beberapa syarikat yang sedang meneliti perkara ini kerana saya tahu sektor itu merupakan sektor yang sangat baik,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Kampung Budaya Sarawak, di sini sempena Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2025 hari ini.
Tambah Abdul Karim, penerbangan terus Kuching-Pontianak bukan sahaja memberi manfaat kepada Sarawak malah ia juga menguntungkan Indonesia.
Ini kerana jelasnya, ramai dalam kalangan rakyat Sarawak memilih untuk menaiki penerbangan yang memakan masa setengah jam berbanding memandu selama empat atau lima jam ke Pontianak.
“Dan itu pasti akan memberi manfaat kepada industri, khususnya industri pelancongan di Pontianak,” ujarnya.
Ditanya sama ada kementeriannya akan menggesa AirAsia untuk mengaktifkan laluan tersebut, Abdul Karim berkata mereka terbuka kepada mana-mana syarikat penerbangan termasuk dari Indonesia.
Sementara itu, mengenai pelaksanaan jenama penerbangan AirBorneo, Abdul Karim menjelaskan proses pelancarannya memerlukan pematuhan kepada piawaian antarabangsa, termasuk dari segi penjenamaan semula.
Tambahnya, penerbangan terus menjadi keutamaan dalam menarik pelancong asing yang tidak gemar transit, dan perkembangan tersebut diyakini akan melonjakkan jumlah ketibaan pelawat ke Sarawak.
Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah (dua kanan) dan isteri, Datin Seri Zuraini Abdul Jabbar (tiga kanan) meninjau barangan kraf yang dijual di Kampung Budaya Sarawak sempena RWMF 2025.

