SIMANGGANG: Seramai 653 individu dalam kategori miskin di Bahagian Sri Aman diyakini mampu mengubah nasib keluarga masing-masing sekiranya memanfaatkan peluang dan bantuan yang disalurkan oleh pelbagai pihak bagi menjana pendapatan.
Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh berkata, menerusi Bantuan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia Madani (Sejahtera Madani) di bawah Skop Peningkatan Pendapatan, ketua isi rumah (KIR) yang layak dibantu melalui pemberian peralatan ekonomi yang boleh digunakan untuk meningkatkan pendapatan.
Menurutnya, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa kebajikan rakyat, khususnya golongan miskin agar mereka berupaya berdikari dan keluar daripada kitaran kemiskinan.
“Sehingga 1 Julai 2026, statistik eKasih merekodkan seramai 653 individu dalam kategori miskin di Bahagian Sri Aman yang meliputi 278 orang di Daerah Lubok Antu, 187 orang di Daerah Sri Aman, 111 orang di Daerah Lingga dan 77 orang di Daerah Pantu.
“Golongan ini memerlukan perhatian serta sokongan berterusan daripada semua pihak bagi membantu mereka meningkatkan taraf kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia Madani (Sejahtera Madani): Skop Peningkatan Pendapatan 2026 bagi Daerah Lingga dan Pantu di Dewan Suarah Sri Aman, hari ini.
Jelasnya, kemiskinan bukan sesuatu yang diwarisi atau tidak boleh diubah, sebaliknya ia merupakan satu kitaran yang boleh dihentikan melalui usaha berterusan, pendidikan, kerja keras serta sokongan daripada program bantuan yang disediakan kerajaan.
“Oleh demikian, kerajaan komited menyalurkan bantuan berbentuk peralatan kepada golongan berkelayakan bukan sekadar untuk membantu keperluan semasa, tetapi bagi membina keupayaan penerima supaya mampu menjana pendapatan secara mampan dalam tempoh jangka panjang.
“Justeru, saya berharap penerima bantuan ini dapat memanfaatkan peluang yang diberikan untuk mengubah kehidupan keluarga masing-masing,” ujarnya.
Beliau menambah, usaha membasmi kemiskinan merupakan tanggungjawab bersama antara kerajaan, agensi pelaksana dan masyarakat.
“Kerajaan menyediakan dasar serta bantuan, agensi pula melaksanakan program, manakala penerima perlu mengambil peluang ini dengan penuh kesungguhan bagi memperbaiki kehidupan.
“Usaha ini selari dengan aspirasi pembangunan yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial supaya masyarakat luar bandar turut menikmati pembangunan secara adil dan saksama,” katanya.
Program anjuran Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (SDO) Zon Sri Aman itu melibatkan penyerahan bantuan berbentuk peralatan secara sekali beri dengan jumlah keseluruhan RM105,000.
Seramai 21 KIR berstatus miskin yang berdaftar dalam sistem eKasih menerima bantuan tersebut membabitkan dua kategori, iaitu peralatan perikanan dan mesin rumput.
Daripada jumlah itu, seramai 16 penerima menerima peralatan perikanan, melibatkan 10 penerima dari Lingga dan enam penerima dari Pantu, manakala lima penerima menerima mesin rumput, terdiri daripada dua penerima dari Lingga dan tiga penerima dari Pantu.
Mahra turut mengingatkan penerima supaya menjaga serta menggunakan peralatan yang diterima dengan sebaik mungkin kerana pemantauan terhadap peningkatan pendapatan hasil bantuan ekonomi tersebut akan dilaksanakan oleh Pejabat SDO Zon Sri Aman.





