MUKAH: Setiap penerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian perlu mengemukakan laporan pelaksanaan program bagi memastikan setiap peruntukan yang disalurkan digunakan secara berhemah serta direkodkan dengan teratur dalam sistem.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan setiap pelaksanaan program dapat dipantau dengan lebih sistematik dan berkesan.

“Setiap laporan perlu mengandungi maklumat lengkap termasuk tarikh dan nama program yang telah dianjurkan. Semua penerima perlu mengemukakan laporan lengkap selepas program dilaksanakan bagi memastikan maklumat ini direkodkan secara sistematik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Geran MRP di Pusat Khidmat N57 Tellian, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Royston berharap agar Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dapat memainkan peranan untuk membantu penyelarasan di peringkat kampung dan rumah panjang.
Jelasnya, penyaluran MRP dibuat berdasarkan permohonan serta keperluan semasa masyarakat di kawasan DUN Tellian.

“Bagi sesetengah kawasan yang tidak menerima MRP, mereka tetap diberi perhatian melalui pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP). Saya membantu semua tanpa mengira latar belakang kerana selagi mempunyai kemampuan, kita akan terus membantu rakyat,” tambahnya.
Terdahulu, sebanyak 44 penerima menerima peruntukan MRP berjumlah RM723,000 bagi pelaksanaan program komuniti di kawasan masing-masing.


