BINTULU: Penerima Lesen Pendudukan Sementara (TOL) diingatkan agar tidak menjual lot yang diberikan kerana ia tidak boleh dipindah milik sewenang-wenangnya dan hanya boleh diuruskan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, TOL merupakan kemudahan yang disediakan kerajaan bagi membantu rakyat memiliki tapak kediaman secara sah dan penerima perlu memanfaatkannya sebaik mungkin.
“Jangan jual lot yang telah diberikan kerana ia tidak boleh dijual. Jika ada yang membelinya, mereka hanya ‘membeli angin’ kerana urus niaga itu tidak akan diiktiraf oleh kerajaan.
“Sekiranya penerima ingin memindahkan lot kepada ahli keluarga atau mempunyai keperluan tertentu, permohonan hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak untuk pertimbangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak (KTS) dan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) Bahagian Bintulu di Auditorium Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), di sini, pada Isnin.

Awang Tengah berkata, Kerajaan Sarawak akan terus melaksanakan program penempatan semula dan pembesaran kampung bagi memenuhi keperluan rakyat, termasuk menyediakan lot kediaman yang dilengkapi kemudahan asas.
Menurutnya, kerajaan menanggung kos pembangunan yang tinggi bagi setiap lot, namun penerima hanya dikenakan premium yang rendah dengan kemudahan pembayaran secara ansuran sehingga 10 tahun.
Beliau berkata, kerajaan juga menyediakan pilihan kepada penerima yang tidak berkemampuan membina rumah sendiri melalui Program Rumah SPEKTRA Permata dengan kemudahan pembiayaan pada kadar keuntungan yang rendah.
“Saya berharap semua penerima menggunakan TOL ini dengan sebaik-baiknya kerana program pemberian hak milik dan penyediaan tapak kediaman akan diteruskan selagi masih diperlukan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak serta semua pihak yang menjayakan kerja-kerja penyukatan dan penyerahan TOL serta hak milik tanah demi manfaat masyarakat.
Pada majlis itu, seramai 39 penerima menerima TOL bagi Skim Pembesaran Kampung (SPK) Kampung Melayu Tubau.
Selain itu, sebanyak 274 Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 KTS turut disampaikan kepada 189 penerima melibatkan kawasan Sungai Senunok dan Sungai Kelebu di DUN Kakus, Sungai Rassan di DUN Kemena, serta Murum dan Sungai Sepadok di DUN Jepak.

