BINTULU: Penerima Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Premier Sarawak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Batu diingatkan supaya menggunakan peruntukan yang diterima secara berhemah dan bertanggungjawab demi manfaat masyarakat.
Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.68 Tanjong Batu, Datuk Haidar Khan Asghar Khan, berkata, peruntukan perlu dimanfaatkan secara optimum menerusi pelaksanaan program yang memberi manfaat langsung kepada ahli pertubuhan dan komuniti.

Bantuan Kerajaan Sarawak merupakan satu amanah, perlu diurus dengan penuh tanggungjawab supaya setiap peruntukan memberi impak kepada pembangunan masyarakat di peringkat akar umbi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Premier Sarawak kepada 40 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), kelab serta pertubuhan di kawasan DUN Tanjong Batu, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak RM295,000 geran MRP yang diluluskan kepada PBB Cawangan Tanjong Batu diagihkan kepada penerima bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan komuniti.
Kelulusan peruntukan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak memastikan pembangunan masyarakat peringkat akar umbi terus diberi perhatian.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kelulusan geran berkenaan yang disifatkan sebagai bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap keperluan rakyat.
Beliau menggalakkan penerima supaya melibatkan lebih ramai anggota masyarakat dalam setiap program yang dianjurkan, selain mengeratkan kerjasama antara pertubuhan, komuniti dan kepimpinan setempat.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata PBB Tanjong Batu akan terus berusaha mendapatkan lebih banyak peruntukan pada masa hadapan bagi memperluas manfaat kepada penduduk di kawasan berkenaan.




