ARTIKEL

Pengakap Sarawak perkukuh perpaduan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MAJLIS Pengakap Sarawak menghimpunkan ahli majlis dan pesuruhjaya buat julung kalinya menerusi program Eventide Retreat cum Dinner yang diadakan di Pejabat Pengakap Sarawak, baru-baru ini sebagai platform muhasabah, pembaharuan serta memperteguh perpaduan kepimpinan pergerakan itu bagi pelaksanaan program 2026.

Penasihat di Jabatan Premier Sarawak merangkap Yang Dipertua Majlis Pengakap Sarawak Tan Sri William Mawan Ikom menegaskan program berkenaan bukan sekadar pertemuan rasmi, sebaliknya satu ikrar untuk memperkukuh misi pengakap bagi tahun mendatang.

“Masa bukan musuh kita, tetapi ia tidak menunggu sesiapa,” katanya ketika berucap.

Beliau mengingatkan ruang melaksanakan program bermakna sebenarnya terhad berikutan peperiksaan sekolah, cuti umum dan komitmen lain.

Menurut beliau, anggaran program 2026 yang diluluskan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) baru-baru ini perlu disusuli perancangan lebih tersusun serta disertai semangat, disiplin dan sumber yang mencukupi bagi memastikan pelaksanaan lancar.

Beliau turut menggesa daerah-daerah dan jawatankuasa penganjur supaya lebih proaktif dalam usaha pengumpulan dana serta pelibatan pihak berkepentingan, termasuk agensi berkaitan, bagi memperkukuh kelangsungan program.

Sebagai contoh, beliau merujuk satu program di Bintulu yang berjaya dilaksanakan walaupun berdepan pertukaran lokasi pada saat akhir akibat banjir, hasil ketekunan jawatankuasa serta hubungan baik dengan agensi lain.

Mawan turut menyorot beberapa acara utama yang bakal berlangsung pada tahun ini, antaranya Jambori Pengakap Malaysia Ke-15 di Pulau Pinang dari 29 Ogos hingga 4 September kelak, serta Kem Pendidikan Marin bagi Pengakap Laut yang dijadualkan pada Jun di Miri.

Walaupun mengakui terdapat petanda positif berkaitan kemungkinan bantuan kerajaan atau institusi lain, beliau menegaskan sokongan luar perlu melengkapi, bukan menggantikan, usaha dalaman organisasi.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh isu jurang komunikasi melibatkan segelintir pemimpin serta menggesa semua pihak mengutamakan tanggungjawab dan perpaduan.

“Menyalahkan mana-mana pihak lain akan melemahkan organisasi.

Mengambil tanggungjawab terhadap kesilapan akan menguatkannya,” katanya sambil meminta barisan kepimpinan mempamerkan sikap positif, khususnya ketika berurusan dengan rakan strategik pertubuhan luar.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya Pengakap, John Lim Boon Beng, mengalu-alukan kehadiran jemputan serta merakamkan penghargaan kepada Yang Dipertua Majlis Pengakap Sarawak kerana menganjurkan program yang disifatkannya dirancang dengan baik bagi memupuk ukhuwah dan penyelarasan semula dalam kalangan pemimpin.

“Pengakap tidak diukur semata-mata melalui jumlah, lencana atau istiadat, tetapi melalui kualiti pengalaman yang kita berikan kepada golongan muda,” katanya sambil menggalakkan para pesuruhjaya saling menyokong dan mempertahankan semangat persaudaraan.

Majlis diakhiri dalam suasana muhibah dengan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina kepada komuniti Cina serta ucapan menyambut Ramadan kepada komuniti Islam.

Program berkenaan mencerminkan komitmen kepimpinan Pengakap Sarawak untuk memelihara perpaduan, memperkukuh kerja berpasukan serta mengangkat pergerakan itu ke tahap lebih cemerlang sepanjang tahun ini.

Turut hadir ialah Naib Yang Dipertua Kho Ik Teck dan Mohadi Mobin, Timbalan Ketua Pesuruhjaya lu Cho Heng, Pengerusi Yayasan Pengakap Sarawak Arthur Lee Cheng Chuan, serta Pesuruhjaya Kehormat Kapten Zainuddin Tan Sri Hamdan.

BERITA LAIN

FIA puas hati persiapan Sepang

PERSIAPAN menghadapi Grand Prix Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini mendapat penilaian positif daripada Persekutuan Automobil Antarabangsa

Lewis Hamilton miliki Ferrari F40 idaman

Dunia Automotif LEWIS HAMILTON akhirnya merealisasikan impian yang dipendam sejak zaman kanak-kanak apabila berjaya memiliki sebuah Ferrari F40, kereta ikonik yang disifatkannya sebagai kenderaan idaman

BERITA TERBARU

Pemimpin utama parti lipas dipenjara

NEW DELHI: Dua pemimpin parti pimpinan golongan muda India, Cockroach Janta Party (CJP), telah dikenakan perintah reman selama lima hari pada Rabu, ketika polis memperhebat