PERSIAPAN menghadapi Grand Prix Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini mendapat penilaian positif daripada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).
Pengurus Besar Persekutuan Permotoran Bahrain (BMF), Abdulaziz Al Thawadi, berkata Pengarah Perlumbaan F1 FIA, Rui Marques, bertemu dengan pihak penganjur pada Isnin lalu bagi meninjau persiapan terakhir menjelang perlumbaan yang dijadualkan berlangsung mulai hari ini hingga Ahad.
“Beliau gembira dengan persiapan itu,” katanya kepada media tempatan baru-baru ini.
Dalam pada itu, Al Thawadi berkata pihak Malaysia bekerja keras bagi memastikan segala persiapan dapat diselesaikan meskipun hanya mempunyai kira-kira 60 hari untuk menyediakan acara berkenaan.
Katanya, tempoh persiapan yang singkat memberikan tekanan kepada pihak terbabit, namun usaha bersungguh-sungguh membolehkan segala keperluan perlumbaan disediakan mengikut jadual.
“Jika anda datang ke trek ini, 60 hari lalu keadaannya tidak kelihatan seperti sekarang,” katanya.
Beliau turut memuji sokongan yang diberikan oleh penduduk tempatan sepanjang tempoh persiapan, termasuk bantuan daripada petugas Malaysia.
“Penduduk di sini sangat membantu.
Yang kami suka ialah mereka mengingatkan kami tentang budaya kami.
Senyuman dan salam mereka sangat bermakna.
Mereka sangat membantu,” katanya.
Menurutnya, suasana di Litar Antarabangsa Sepang juga mempunyai beberapa persamaan dengan Litar Antarabangsa Bahrain di Sakhir.
Katanya, kedua-dua litar berkenaan direka oleh pereka litar dari Jerman, Hermann Tilke, sekali gus mempunyai beberapa persamaan dari segi susun atur dan aspek teknikal.
“Ada beberapa tempat di Sepang yang apabila anda berjalan melaluinya, anda akan terfikir, ‘Oh, ini kelihatan seperti Bahrain.’
“Dari segi susun atur dan beberapa aspek teknikal, anda akan melihat persamaannya dengan Bahrain,” katanya.
Grand Prix Bahrain sebelum ini dijadualkan berlangsung di Sakhir pada April lalu, namun tidak diteruskan susulan konflik di Asia Barat.



