ARTIKEL

Usia bukan penghalang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DI SEBALIK kehijauan rimba Borneo yang kaya dengan khazanah alam, terukir sebuah kisah inspirasi yang menggabungkan ketekunan, warisan tradisi dan kecekalan seorang wanita luar biasa.

Pada usia 60 tahun, ketika sesetengah individu mula memperlahankan rentak kehidupan, Tuai Rumah (TR) Siti Amit dari Tinting Engkeranji Jumbit, Melugu Skim, Simanggang, sebaliknya terus melangkah gagah menerajui perniagaan Madu Kelulut Premium Asli Borneo.

Beliau bukan sahaja bertindak sebagai pembekal produk kesihatan semula jadi, malah tampil sebagai figura penting dalam komunitinya dengan cita-cita untuk mengangkat hasil bumi Sarawak ke pentas antarabangsa, sekali gus membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk merealisasikan impian.

Pemimpin komuniti dan penggerak masyarakat

Dilantik sebagai tuai rumah sejak 2010, tanggungjawab Siti Amit melangkaui aspek kepimpinan adat. Beliau menggabungkan peranan tradisinya dengan keusahawanan moden serta kepimpinan yang tersusun.

Kepimpinan beliau diperkukuh lagi menerusi pelibatan aktif dalam pelbagai organisasi dan jawatankuasa penting pada peringkat komuniti.

Beliau diamanahkan sebagai Tuai Rumah Tinting Engkeranji Jumbit, Melugu Skim, Simanggang sejak 2020, di samping menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Exco Persatuan Ketua Masyarakat Iban (PKMI) Bahagian Sri Aman sejak 2024.

Selain itu, komitmen beliau dalam aspek pendidikan awal kanak-kanak dan pembangunan pertanian terserlah menerusi peranannya sebagai pengerusi Tabika KEMAS Melugu Skim sejak 2021 serta timbalan pengerusi Ahli Jawatankuasa Pembangunan Ladang SALCRA (AJPLS) Pakit, Sri Aman sejak 2018.

Menerusi platform tersebut, Siti Amit memanfaatkan

kedudukannya untuk menyemai semangat keberanian dalam kalangan masyarakat, khususnya wanita luar bandar, agar bangkit menjana pendapatan sendiri dan meneroka potensi diri.

Khazanah borneo ke pentas antarabangsa

Bagi Siti Amit, madu kelulut bukan sekadar cecair manis di dalam botol. Produk itu merupakan manifestasi kekayaan flora Borneo yang sarat dengan nilai, identiti dan cerita tersendiri.

Hasrat beliau untuk mengusahakan Madu Kelulut Premium Borneo berputik daripada impian untuk melihat produk tempatan diberikan nilai komersial yang tinggi serta pengiktirafan sewajarnya.

Beliau yakin Borneo mempunyai pelbagai keunikan yang berpotensi untuk bersaing pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa, asalkan diusahakan dengan penuh kesungguhan serta diuruskan dengan cekap.

“Kita mempunyai hasil bumi yang sangat bernilai.

Jangan biarkan kekayaan Borneo hanya kekal sebagai sumber tempatan. Kita perlu berani membangunkannya, memberikan nilai tambah dan memperkenalkannya kepada dunia,” ujarnya.

Prinsip itulah yang menjadi pegangan dan dorongan utama beliau untuk terus memajukan industri kelulut di kawasan Sri Aman.

Rahsia kekal bertenaga

Memasuki usia enam dekad sedikit pun tidak mengurangkan tenaga atau memadamkan semangat keusahawanan dalam diri Siti Amit.

Beliau mendedahkan rahsia untuk kekal bertenaga dan awet muda bukan terletak pada penampilan luaran semata-mata, sebaliknya pada minda yang sentiasa aktif serta cara seseorang menjalani kehidupan.

Kunci utamanya adalah mempunyai tujuan hidup yang jelas, menjaga pemakanan, kekal aktif dan tidak pernah berhenti berusaha.

“Selagi kita masih mempunyai semangat, jangan katakan kita sudah tua.

Terus bergerak, terus bekerja dan terus menghasilkan sesuatu. Usia bukan alasan untuk berhenti,” tegasnya.

Falsafah hidup itu menjadikan beliau bukan sekadar seorang usahawan berjaya, malah ikon yang memberikan inspirasi kepada wanita dalam dan luar komunitinya.

Memimpin dengan teladan, memperkasakan wanita Iban

Di bawah kepimpinannya, Siti Amit mahu melihat lebih ramai

wanita Iban tampil mendepani cabaran ekonomi sebagai pengusaha dan pencipta peluang pekerjaan.

Beliau sentiasa menggalakkan golongan wanita di kawasan luar bandar agar memanfaatkan kemahiran, tanah warisan dan sumber alam yang terdapat di sekeliling mereka.

“Saya mahu wanita Iban lebih rajin berusaha. Jangan takut untuk bermula secara kecil-kecilan.

Yang penting, kita bermula, belajar dan meneruskan usaha.

Daripada sesuatu yang kecil, kita boleh membina sesuatu yang besar,” jelas beliau.

Pelibatan beliau dalam jawatankuasa pembangunan ladang SALCRA turut membolehkannya memahami dengan lebih mendalam aspek pengurusan sumber tanah dan ladang, sekali gus membantu beliau membimbing masyarakat supaya menguruskan aset tempatan secara mampan.

Meninggalkan legasi berharga

Mengimbau perjalanan perjuangannya, Siti Amit berkata, impian utamanya bukan sekadar mengejar kejayaan peribadi, sebaliknya meninggalkan legasi yang kukuh untuk generasi akan datang.

Beliau mahu generasi muda Borneo menyedari nilai tinggi yang terdapat pada khazanah tanah air mereka sendiri.

Madu kelulut kini menjadi medium perjuangan yang menyatukan pemeliharaan alam sekitar, warisan budaya, pengurusan tanah dan pemerkasaan ekonomi wanita.

Dari Sri Aman, Siti Amit membawa mesej yang ringkas tetapi penuh makna: Borneo kaya dengan khazanah, wanita memiliki kekuatan tersendiri dan usia bukan penghalang untuk mencipta perubahan yang bermakna.

BERITA LAIN

FIA puas hati persiapan Sepang

PERSIAPAN menghadapi Grand Prix Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini mendapat penilaian positif daripada Persekutuan Automobil Antarabangsa

Lewis Hamilton miliki Ferrari F40 idaman

Dunia Automotif LEWIS HAMILTON akhirnya merealisasikan impian yang dipendam sejak zaman kanak-kanak apabila berjaya memiliki sebuah Ferrari F40, kereta ikonik yang disifatkannya sebagai kenderaan idaman

BERITA TERBARU

Chip semikonduktor ngaga meter karan

KUCHING: SMD Semiconductor deka nanggam kerejasama enggau siti kompeni ari China dikena ngadu langkar tengkebang chip semikonduktor Sarawak dikena ngaga meter karan. Premier Sarawak, Datuk

Projek jematan Sarawak diaku

KUALA LUMPUR: Jematan Muara Lassa di Bagi Menua Mukah nurai pemujur ngemegah ati pengudah Opis Kereja Raya (JKR) Sarawak menang kategori projek besai lebuh Road