JAKARTA: Unik. Mungkin itulah pandangan yang boleh dikatakan sebaik sahaja melihat penduduk di sini yang mempunyai pelbagai idea untuk menjalankan perniagaan.
Lawatan pengamal media daripada Ikatan Setiakawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) sempat menyaksikan proses perniagaan di ‘warung kerek’ di tepi jalan di Jalan Gatot Subroto Jakarta Selatan di sini dan juga membeli makanan yang dijual.
Digelar ‘Warung kerek’, ia merupakan sebuah warung yang terletak di seberang sungai yang menghubungkan pelanggan dan penjual dengan menghantar pesanan dalam cara menjerit untuk memesan makanan.
Setelah itu, makanan atau minuman yang telah dipesan kemudian dihantar menggunakan baldi kecil dan pelanggan boleh meletakkan wang ke dalam baldi berkenaan.
Bagi menarik baldi ini ke seberang, ia menggunakan tali nilon karena jarak antara pembeli dan penjual dipisahkan oleh sungai yang ukuran lebar sekitar 100 meter.
“Pak, beli air teh es satu (air teh sejuk satu),” teriak pengamal media di seberang warung kerek yang berada di jalan berkenaan.
Begitulah cara pembeli untuk memesan. Tak lama kemudian, seorang lelaki menerima pesanan tersebut yang juga dijadikan warung serta rumah.
Penjual lalu bergegas melayani pembeli dengan kembali berteriak memberitahu harga makanan yang dipesan sebelum akhirnya dibuat dan diletakan di dalam baldi biru.
Meskipun cara berkomunikasi yang agak jauh dengan pembeli, tetapi warung berkenaan tetap mempunyai pelanggan setiap hari lebih-lebih lagi pada waktu makan tengahari sebab warung berkenaan berdekatan dengan pejabat yang mempunyai banyak kakitangan.
Mengenai harga, makanan atau minuman yang dijual di warung kerek ini murah dan antara menu yang dijual adalah seperti untuk menu nasi, lauk, kopi dan minuman dingin.
Keunikan cara perniagaan itu membuat warung kerek beberapa kali mengundang perhatian orang ramai, dan mungkin di Malaysia juga boleh memikirkan cara perniagaan yang sama untuk mencari pendapatan sampingan.




