KUCHING: Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun dilihat sebagai satu usaha penting untuk merombak hubungan kuasa antara negara, elit politik dan rakyat, sekali gus memperkukuh demokrasi institusi di Malaysia.
Penganalisis politik, Profesor Dr Novel Lyndon berkata, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mencerminkan komitmen terhadap reformasi struktur yang bertujuan mengelakkan penumpuan kuasa berpanjangan dalam sistem politik negara.
Katanya, penumpuan kuasa dalam tempoh yang lama cenderung melahirkan oligarki politik walaupun dalam kerangka sistem pilihan raya.
“Had tempoh jawatan Perdana Menteri dapat menghalang pembentukan politik bersifat personalistik atau tertumpu kepada individu, di samping mengurangkan kebergantungan parti politik dan birokrasi kepada seorang pemimpin,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas Dr Novel, langkah itu juga mampu menggalakkan peralihan kepimpinan yang sihat serta regenerasi elit politik.
“Ia juga penting dalam konteks masyarakat majmuk bagi mengekalkan legitimasi moral institusi eksekutif dan mencegah normalisasi penyalahgunaan kuasa,” tambahnya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh seseorang memegang jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun atau dua penggal penuh pada sesi Dewan Rakyat tahun ini.
Mengulas cadangan pemisahan kuasa perundangan dan pendakwaan yang turut diumumkan oleh Perdana Menteri semalam, Dr Novel berkata, dari sudut sosiologi undang-undang, penggabungan kedua-dua kuasa dalam satu individu mewujudkan konflik peranan yang serius serta berpotensi menormalisasikan penyalahgunaan kuasa.
“Reformasi ini penting bagi memperkukuh kebebasan institusi kehakiman daripada tekanan eksekutif, mengurangkan persepsi keadilan terpilih serta meningkatkan kepercayaan awam terhadap sistem perundangan,” katanya lagi.
Beliau menambah bahawa dalam konteks masyarakat pasca-kolonial, keadilan sering dilihat sebagai alat kuasa. Justeru, pemisahan tersebut membantu membentuk semula undang-undang sebagai institusi neutral, bukan instrumen politik.


