Penganggur cederakan adik angkat gara-gara enggan beri wang

PADAWAN: Tindakan mencederakan adik angkat menggunakan sebatang paip PVC sepanjang 1 meter kerana tidak diberikan wang, menyebabkan seorang penganggur 47 tahun ditahan oleh pihak polis Padawan di kediamannya di Batu 22 Jalan Kuching Serian Jumaat lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima aduan daripada mangsa kerana tidak tahan dengan amukan abang angkatnya itu yang sering mencederakannya jika tidak diberikan wang.

“Mangsa yang juga seorang buruh dikatakan mengalami kecederaan teruk di bahagian paha kiri, belakang badan, lengan kiri serta kepala.

“Hasil aduan ini, pada sebelah petangnya mangsa bersama pasukan JSJ IPD Padawan yang diketuai oleh Inspektor Nyaum telah berjaya menahan suspek,” katanya kepada Suara Sarawak.

Turut dirampas satu batang paip pvc yang diserah sendiri oleh suspek.

“Hasil siasatan kita turut mengesahkan suspek tidak mempunyai rekod lampau dan mengaku ada bertengkar serta memukul mangsa menggunakan batang paip pvc tersebur kerana mangsa tidak memberi wang seperti yang diminta.

“Suspek termasuk barang rampasan kes telah diserahkan kepada Pegawai Penyaisat kes untuk tindakan selanjutnya, suspek direman pada 30 Mei ini (hari ini),” katanya.