KUCHING: Seorang penganggur ditahan setelah mencuri duit tabung di salah sebuah surau berdekatan dengan Taman Won Baru Jalan Matang, Kuching.
Kejadian mencuri duit di surau berkenaan terjadi sebanyak dua kali sebelum ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani, lelaki berusia 18 tahun itu disedari telah masuk ke surau berkenaan dalam keadaan mencurigakan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di dalam surau tersebut.
Katanya, suspek masuk ke dalam surau melalui pintu utama yang tidak berkunci dan mencuri wang tabung surau dengan mengumpil mangga tabung tersebut.
Susulan itu, Polis IPD Kuching telah berjaya menahan suspek sehari setelah laporan polis dibuat.
“Semakan mendapati suspek ini mempunyai dua rekod jenayah di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan seksyen 380 Kanun Keseksaan.
“Suspek telah direman dan kes disiasat di bawah seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan” jelasnya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mengingatkan kepada semua AJK rumah ibadat termasuk surau agar mengambil langkah-langkah keselamatan dengan tidak membiarkan rumah-rumah ibadat terbiar tanpa pengawasan bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku.
Tambah Awang Din, pemasangan CCTV adalah mustahak bagi membantu siasatan pihak polis dalam menjejaki suspek yang terlibat seperti mana yang berlaku dalam kes ini.





