Penganggur dicekup terlibat dadah

KUCHING: Seorang lelaki bersama 5.25 gram dadah jenis Methamphetamine ditahan polis di tepi Lorong 1Y, Jalan Foochow, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Supt Merbin Lisa berkata suspek berusia 45 tahun itu dicekup Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada jam 12.45 tengah hari.

Menurutnya, suspek ketika kejadian ditemui dalam keadaan mencurigakan sebelum pihaknya mengambil keputusan menahan seterusnya memeriksa suspek di lokasi.

“Hasil pemeriksaan di badannya, kita berjaya menemui satu bekas kecil berisi empat peket plastik yang mengandungi dadah jenis Methamphetamine seberat 5.25 gram di dalam poket belakang seluar suspek.

“Suspek seterusnya mengaku menjalankan pengedaran dadah jenis syabu di sekitar kawasan Tabuan Foochow semenjak akhir tahun 2019,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, suspek juga disahkan positif dadah Methamphetamine setelah saringan air kencing dilakukan terhadapnya.

Dedah Merbin, hasil semakan rekod lampau mendapati suspek pernah terlibat sebanyak tujuh kali dalam kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 sejak dari tahun 2013.

Susulan itu, katanya, suspek kini ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau hukuman penjara tidak melebihi dua tahun,” ujarnya.

Suara Sarawak