KUCHING: Seorang penganggur lelaki didakwa di Mahkamah Majistret hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga Indonesia dalam kejadian penemuan mayat di tepi Jalan Lumba Kuda Penrissen Lama, 23 November tahun lalu.
Tertuduh berusia 30 tahun itu didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Seksyen tersebut membawa hukuman mati, dan jika tidak dihukum mati hendaklah dipenjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, dan hendaklah disebat tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa bersama dengan seorang rakannya berusia 35 tahun dengan berniat bersama-sama melakukan pembunuhan terhadap seorang lelaki warga Indonesia berusia 37 tahun.
Mereka didakwa melakukan pembunuhan di tepi Jalan Lumba Kuda Penrissen Lama, Padawan, antara 1.47 pagi hingga 2.37 pagi, pada 23 November 2025.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aidil Akmal Sharidan memohon agar tarikh baharu sebutan semula kes memandangkan laporan bedah siasat masih belum tersedia.
Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh memandangkan ia kesalahan berat yang tidak boleh dijamin.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes pada 23 April depan.
Selain itu, tertuduh dilanjutkan reman sehingga kes selesai.
Siasatan kes dilakukan oleh Pegawai Penyiasat ASP Steel Entai dan Penolong Pegawai Penyiasat Inspektor Musyiri Johari serta Sarjan Mejar Ridvaner Haddi.
Manakala, tertuduh tidak diwakili peguam.
Difahamkan, punca si mati dibunuh kerana hutang.
Sementara itu, pada 9 Disember 2025, seorang peniaga sate berusia 35 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan yang sama.
Terdahulu media juga melaporkan, satu penemuan mayat lelaki warga asing terbaring di tempat kejadian yang dilaporkan oleh orang awam.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi menerusi satu kenyataan memaklumkan menerima laporan daripada orang awam sekitar 8.05 pagi, 23 November 2025.
“Siasatan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan bersama dengan Forensik IPK Sarawak mendapati mangsa berusia 37 tahun itu mempunyai kesan kecederaan di bahagian dahi.
“Kematian mangsa disahkan oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian,” katanya.

