KUCHING: Seorang penganggur lelaki dijatuhi hukuman denda RM2,600 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 0.18 gram, September lalu.
Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap Ah Heng, 48, selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.
Mengikut pertuduhan, dia didapati memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 0.18 semasa berada di tepi jalan Lorong Tematu Stoboum, kira-kira jam 12.45 petang, 6 September lepas.
Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) Akta yang sama.
Menurut fakta kes, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah IPD Padawan telah membuat tangkapan terhadap seorang individu yang dipercayai terlibat dengan kegiatan dadah.
Hasil pemeriksaan ke atas tertuduh, menjumpai sepeket kecil plastik lutsinar yang mengandungi ketulan kristal yang disyaki dadah jenis syabu seberat 0.45 gram.
Barang kes kemudian dibawa ke Jabatan Kimia untuk ujian dan mengesahkan bahawa bahan terlarang itu adalah dadah jenis Methamphetamine seberat 0.18 gram.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.