KUCHING: Seorang penganggur lelaki dijatuhi hukuman denda RM2,300 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memiliki 0.76 gram dadah jenis ganja pada Januari lalu.
Muhammad Amirul Amir Abdul Taib, 26, mengaku bersalah di hadapan Majistret Ling Hui Chuan atas pertuduhan di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman di bawah akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki bahan terlarang tersebut di tepi jalan sebuah kampung di Petra Jaya, sekitar jam 2.50 petang pada 4 Januari lepas.
Pada hari kejadian, sepasukan polis telah menahan seorang lelaki di tepi jalan kampung kerana dalam keadaan mencurigakan dan disyaki terlibat dalam aktiviti dadah.
Tertuduh kemudian menyerahkan satu plastik lut sinar berisi dedaun kering yang disimpan dalam beg sandangnya.
Pihak polis kemudian membawa tertuduh ke balai polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Hasil siasatan laporan kimia mendedahkan bahawa bahan tersebut adalah ganja seberat 0.76 gram.



