Penganggur ugut cederakan ibu didenda RM4,000

KUCHING:  Seorang penganggur yang mengaku bersalah mengancam untuk mencederakan ibunya sendiri dikenakan denda RM4,000 atau lima bulan penjara semalam.

Mahkamah Majistret Mohd Syukri Mokhtar mengenakan hukuman denda tersebut terhadap suspek setelah dia mengaku melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Suspek mengaku mengancam untuk membunuh ibunya pada jam 4.30 petang di rumah mereka di Kampung Sungai Bedil Besar pada 16 Febuari lalu.

Menurut fakta kes, pengadu membuat laporan polis apabila berasa takut yang dia dan keluarganya akan diapa-apakan tertuduh yang merupakan anaknya sendiri.

Pada 16 Febuari lalu, sekitar jam 4.30 petang, di hadapan rumah pengadu anaknya itu mengamuk bersenjatakan sebilah parang dan mengejar seorang lelaki.

Melihat keadaan itu, pengadu terus menegur perbuatan anaknya dan tertuduh sedang marah dan menjerit dengan berkata “Jangan masuk campur, kau ku tetak kelak”.

Setelah mendengar ugutan itu, pengadu berasa takut dan mengambil keputusan melaporkan kes ke balai polis berdekatan.

Dalam rayuannya, tertuduh menyesali perbuatan dan berjanji tidak akan berbuat demikian kepada ibunya pada masa akan datang.

Suara Sarawak