KUCHING: Seorang pengarah syarikat kejuruteraan didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini, atas pertuduhan pecah amanah wang syarikat bagi pembayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bernilai RM120,306.
Tertuduh berusia 37 tahun itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mursyida Abdul Halim.
Mengikut pertuduhan, dia sebagai pengarah syarikat yang diamanahkan dengan pembayaran berjumlah RM120,306 untuk KWSP pekerja dalam projek kerjasama Projek Metanol Sarawak melakukan pecah amanah harta terbabit apabila gagal membayar caruman.
Dia melakukan kesalahan itu di pejabat syarikat di Taman Perindustrian Demak Laut, dari September 2022 hingga September 2023.
Pendakwaan kes mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut 409 kanun yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun, dan dengan sebatan, dan juga boleh dikenakan denda.
Mahkamah membenarkan ikat jamin tunai sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan terhadap tertuduh, selain menetapkan tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes pada 11 September depan.
Selain itu, pasport tertuduh hendaklah diserahkan kepada pihak mahkamah.
Difahamkan, pada April 2022, syarikat pengadu melantik syarikat tertuduh sebagai subkontraktor bagi melaksanakan projek.
Syarikat pengadu bertanggungjawab menyediakan pembiayaan kewangan, manakala syarikat tertuduh bertanggungjawab untuk melaksanakan kerja-kerja projek tersebut.
Dalam tempoh Ogos 2022 hingga Ogos 2023, pihak syarikat tertuduh dikatakan telah membuat tuntutan pembayaran bagi gaji pekerja, termasuk caruman berkanun seperti KWSP, PERKESO dan EIS.
Syarikat pengadu membuat pembayaran lebih RM300,000 ke akaun syarikat tertuduh.
Pada sekitar 2025, pihak pengadu kemudiannya mendapati bahawa syarikat tertuduh gagal untuk membuat bayaran caruman KWSP, PERKESO dan EIS bagi pihak pekerja yang diamanahkan, walaupun bayaran tersebut dituntut dan dibayar sepenuhnya kepada pihak tertuduh.
Tertuduh hadir ke mahkamah diwakili Peguam Daniel Ling dan Vanessa Yii.


