ARTIKEL

Pengasas YAST Group kongsi ilmu memimpin pemimpin

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Perkongsian ilmu mengenai kepimpinan yang sangat memberi inspirasi, memupuk semangat pengurusan, membuka minda, meningkatkan motivasi serta membantu memperbaiki kemahiran komunikasi.

Itu antara maklum balas daripada sekitar 50 kakitangan akhbar Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune, pada penghujung ceramah kepimpinan lebih dua jam yang disampaikan oleh usahawan berjaya merangkap Pengasas YAST Group, Esther Law Lee Poh.

Malah, wanita yang pernah menerima pelbagai pengiktirafan serta anugerah peringkat antarabangsa itu tidak lokek berkongsi ilmu dan resipi kejayaannya yang memberikan inspirasi terutama apabila beliau juga bermula dari bawah, daripada seorang anak kampung di Lundu.

Menekankan elemen kasih sayang, belajar dan kualiti pemimpin, beliau menegaskan tiga perkara penting itu merupakan motivasi utamanya sepanjang lebih 25 tahun terlibat dalam dunia keusahawanan.

Bak kata pepatah belakang parang jika diasah akan tajam juga, begitulah prinsip penting yang harus diamalkan seorang pemimpin.

Beliau menegaskan seseorang itu mesti belajar memimpin diri sendiri terlebih dahulu, sebelum memimpin orang lain.
“Pemimpin hebat mampu untuk memimpin dan dipimpin dengan baik.

Bermakna, pemimpin yang berjaya bukan hanya dapat memberi, tetapi juga mampu untuk menerima maklum balas daripada kakitangan dan mendengar dengan baik.

“Seorang pemimpin juga perlu mempunyai personaliti yang mampu mempengaruhi orang lain serta bersedia ditegur atau dikritik oleh orang lain.
“Ini adalah kunci penting membawa kejayaan, kebahagiaan dan ketenangan dalam hidup sebagai seorang pemimpin berjaya,” tegasnya.

Ujarnya, kajian moden menunjukkan orang yang tidak bahagia dalam pekerjaan, tidak akan bahagia dalam hidupnya kerana sebahagian besar kualiti masa dihabiskan di tempat dan alam pekerjaan.

“Begitu juga bagi mereka yang mahu mencapai kejayaan atau meraih kecemerlangan.

Anda perlu melakukan transformasi dalam hidup dan berubah dari zon selesa kepada satu zon yang lebih mencabar.

“Lingkungan mencabar inilah akan mengajar manusia untuk lebih mengenali perkara yang akhirnya dapat menghasilkan buah-buah kejayaan dan membina nilai dalam kehidupan.

“Pemimpin yang hebat mengembangkan daripada ‘saya’ kepada ‘kita’.

Sebagai seorang pemimpin, menjadi tanggungjawab untuk melihat keupayaan dan potensi anak-anak buahnya supaya dapat membuka peluang untuk mereka lebih menyerlahkan bakat,” katanya.

Beliau turut menegaskan, hanya pemimpin yang mempunyai kekuatan pemikiran, sifat keperibadian tinggi serta menggalakkan kerjasama, dapat mencapai matlamat dinyatakan.

Pemimpin juga mesti sanggup bersama-sama kumpulan membina kemajuan dirancang.
Esther, 49, dianugerahkan dengan pelbagai pengiktirafan antarabangsa seperti Toastmasters International District 51 Most Outstanding Toastmaster of the Year (2004-2005) dan Ten Outstanding Young Malaysian Awards (TOYM) 2014.
Atas komitmen tanggungjawab sosial korporat, beliau diiktiraf dengan anugerah pemimpin CSR pada Anugerah Global McMillan Woods pada 2017.

Pengiktirafan lain termasuk Ahli Bintang Kenyalang (ABK) 2021, Anugerah Glamour Wanita 2021 dan Movers and Shakers (Anugerah HRD Asia) 2022.

Pengiktirafan lain termasuk Ahli Bintang Kenyalang (ABK) 2021, Anugerah Glamour Wanita 2021 dan Movers and Shakers (Anugerah HRD Asia) 2022. Jangkauan global Esther lebih di 70 negara.

LAIN-LAIN BERITA

BERITA TERBARU