KUCHING: Padah buat laporan palsu mendakwa dirinya disamun dua orang lelaki di tempat kerja, seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara 10 hari atau denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Zaiton Anuar menjatuhkan hukuman terhadap Meytius, 25, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan di hadapannya.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja membuat laporan palsu tentang kejadian samun yang menimpa dirinya di Pejabat Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, sekitar jam 11.40 pagi, 12 November lepas.
Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit bersalah.
Menurut fakta kes, tertuduh berasal dari Bintangor itu membuat laporan polis mengatakan bahawa begnya telah disamun oleh dua orang lelaki yang tidak dikenali di tempat dia bekerja di Jalan Setia Raja.
Dia mendakwa telefon pintar serta wang tunai berjumlah RM90 telah diambil oleh lelaki berkenaan.
Bagaimanapun, hasil siasatan polis mendapati tertuduh telah membuat laporan palsu kerana mengelak daripada diketahui tidur semasa bertugas oleh majikannya.
Namun demikian, barang milik tertuduh telah hilang dicuri di pos pengawal semasa dia sedang tidur.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



