Pengawal Raja Salman maut ditembak

RIYADH: Seorang pengawal peribadi Raja Salman Arab Saudi ditembak mati manakala tujuh yang lain cedera, termasuk anggota pasukan keselamatan, ketika perbalahan tercetus di kediaman seorang rakan, kata pihak berkuasa pada Ahad.

Jeneral Abdelaziz al-Fagham, sering dilihat mengiringi raja, mati pada malam Sabtu di barat kota Jeddah, kata polis dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh agensi berita rasmi Saudi Press Agency (SPA).

“Fagham melakukan kunjungan ke rumah rakannya di Jeddah apabila seorang kenalan, Mamdouh al-Ali, memasuki kediaman tersebut,” kata kenyataan itu.

“Perbualan antara Fagham dan Ali menjadi tegang… Ali meninggalkan rumah itu, datang balik dengan pistol dan menembak Fagham, mencederakan dua mangsa lain di dalam rumah itu, seorang pekerja warga Filipina dan seorang adik kepada pemilik rumah.”

“Stesen televisyen Al-Ekhbariya melaporkan insiden dicetuskan oleh pertengkaran peribadi,” kata kenyataan itu tanpa memberi butiran lanjut. Ali juga terbunuh dan lima anggota keselamatan cedera dalam kejadian tembak-menembak apabila suspek enggan menyerah diri, kata SPA.

Ia menambah bahawa Fagham meninggal dunia di hospital akibat kecederaannya dan siasatan dilancarkan. Jeneral itu rapat dengan raja, serta terkenal dalam kalangan penduduk Arab Saudi. Kematian beliau mencetuskan reaksi di Twitter, dengan sebahagian pengguna media sosial mengutuk pembunuhannya. – AFP